Editorial
Now Reading
IQ.Rock: Hidup, Ketaksamaan dan Teater
IQROCK 00
211 0

IQ.Rock: Hidup, Ketaksamaan dan Teater

by Adnan QiyasApril 11, 2018

Khamis malam lepas aku dijemput untuk menghadiri pra-tonton teater IQ.Rock terbitan Anomalist Production. Teater IQ.Rock akan dipentaskan bermula esok malam di DPAC (Damansara Performing Arts Centre). Sepanjang 4 hari, teater akan dipentaskan sebanyak 6 kali – 2 pementasan siang (matinee) dan 4 pementasan malam.

Anomalist Production adalah penggiat teater amatur yang makin bertapak dalam arena teater Kuala Lumpur. Sejak penubuhan mereka pada 2014, Anomalist aktif menerbitkan pementasan setiap tahun dan sejak 2 tahun lepas, mereka sudah mempunyai kalendar tahunan yang tetap.

Antara acara dalam kalendar tahunan mereka adalah dua pementasan teater yang panjang. IQ.Rock adalah salah satu teater panjang untuk 2018.

IQ.Rock ditulis oleh pengasas Anomalist, Khairi Anwar. Berlatarkan sebuah sekolah di petempatan FELDA, ia mengisahkan tentang pengalaman Azim, seorang pelajar tingkatan lima yang akan menduduki SPM dengan cikgu Bahasa Inggeris barunya, Mary Anne.

Azim, seperti hampir semua watak dalam IQ.Rock, adalah seorang warga FELDA dan ini ditonjolkan dengan jelas oleh Khairi. Interaksi hasil persefahaman dan persahabatan yang terbentuk antara Azim dan cikgunya Mary Anne dijadikan ruang untuk IQ.Rock mengetengahkan topik ketaksamaan dalam sistem pendidikan kita.


IQROCK 02

Tepat 8:00 malam aku tiba di Lot’ng, sebuah ruang teater milik Theatre ThreeSixty bertempat di Taipan, USJ. Biarpun latihan akan bermula pada 8:30 malam, hampir kesemua pelakon dan pasukan produksi sudah pun tiba. Mereka memulakan aktiviti memanaskan badan sementara menunggu latihan bermula, untuk menjimatkan masa.

Latihan bermula sedikit lewat. Khairi perlu menyampaikan satu taklimat khusus namun ringkas tentang pra-tonton pada malam itu dahulu. Ini adalah pra-tonton pertama mereka. Aku dapat mengecam ramai muka-muka dramatis muda yang pernah aku tontoni ketika pementasan K3 di tempat sama bulan Disember lalu.

Tempoh pementasan IQ.Rock adalah 2 jam 15 minit. Aku rasakan yang teater ini berat dari babak pertamanya lagi. Bukan jenis berat yang membincangkan falsafah atau perihal kerohanian. Namun jenis berat yang ada pada cerita-cerita tentang kehidupan mereka yang serba kekurangan. Walaupun begitu, dialog Khairi tak berat; ia tak banyak menggunakan perkataan-perkataan besar. Ia kedengaran semulajadi, dan membantu menyampaikan latarbelakang dan keadaan sekeliling watak-watak dalam teater ini; realismenya cukup.

Aku menonton sejam pertama pra-tonton ini sebelum meminta diri untuk menghadiri satu temujanji yang lain. Namun dalam tempoh itu aku tak berasa bosan, atau kurang sabar.

Sekitar 40 minit pertama melihatkan Khairi memperkenalkan watak-wataknya serta latarbelakang mereka satu-persatu. Ini berjaya dilakukan tanpa tergesa-gesa, dan setiap babak pengenalan ini tidak berakhir dengan mengejut. Peralihan dari satu babak ke babak yang seterusnya juga lancar, dan tidak canggung. Biarpun dia masih boleh dianggap seorang penulis teater yang muda, namun Khairi cekap bermain dengan perhatian penonton.

Dalam sejam pertama ini, terdapat sekurang-kurangnya empat subplot atau kisah yang telah diperkenalkan. Kesemua subplot ini saling berkait dan bergantung. Hubungan antara Azim dan bapanya, hubungan Azim dan kawan baiknya Syahar, hubungan Azim dengan cikgu Bahasa Inggeris barunya Mary Anne serta hubungan Mary Anne dengan Pengetua Leman semua diatur dengan baik. Setiap hubungan ini diberi masa dan ruang untuk bertapak dan berkembang sehingga aku boleh mengenal sikap dan perilaku setiap seorang.

IQROCK 01

Aku rasakan ini adalah salah satu kebolehan Khairi yang perlu dihargai. Biarpun beliau adalah seorang graduan jurusan undang-undang dari UiTM, keghairahanya yang mendalam terhadap teater dan filem telah mendorongnya menjadi seorang penulis muda yang arif tentang struktur, format, gaya dan pendekatan penulisan teater.

Aku meninggalkan pra-tonton IQ.Rock dengan perasaan ingin tahu. Usia dan latarbelakang aku juga telah memudahkan aku tertarik dengan teater ini.

Aku teruja dengan watak Mary Anne. Seorang guru yang telah lebih 20 tahun mengajar di sekolah-sekolah ternama, Mary Anne telah memilih untuk mengajar di sekolah Azim kerana keputusan SPM-nya teruk. Niat beliau bukan setakat ingin memastikan pendidikan Bahasa Inggeris yang berkesan, tapi juga memberi peluang pendidikan dan pembelajaran yang lebih adil dan saksama.

Perwatakan Mary Anne ini amat dekat dengan jiwa aku. Aku adalah antara mereka yang tak setuju dengan fenomena menteri-menteri dan ahli politik yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah antarabangsa, berasrama penuh atau persendirian. Mary Anne menyuarakan sentimen ini.


Aku telah mengenali Khairi sejak 2016. Sejak itu aku mengikuti perkembangan Anomalist Production dengan sedikit minat, setiakawan dan mutakhir ini, kekaguman.

Beliau telah bergiat dalam teater amatur dengan Anomalist Production sebaik sahaja beliau tamat pelajaran. Beliau belajar menulis skrip teater atas minat dan usahanya sendiri, tanpa sebarang pendidikan teater yang formal. Meskipun penulisan beliau tidak sehalus dan setajam mereka yang belajar teater secara formal, namun ia kemas dan jelas; ada adabnya.

Menulis adalah kerja gila. Ia memenatkan, penuh dengan tekanan dan sentiasa mengusik ego dan perasaan seseorang.

Aku telah menonton banyak hasil penulisan (serta arahan dan penerbitan) Khairi. Semuanya elok-elok belaka. Tak semuanya cantik, kemas dan menarik; malah masih jelas kesilapan-kesilapan amaturnya. Namun aku perhatikan sejak 2016 yang makin ramai penggiat-penggiat amatur serta dramatis-dramatis muda memulakan perjalan teater mereka dengannya. Dan ramai antara mereka yang masih kekal dengannya, contohnya dramatis-dramatis dari program K3 Anomalist Production serta teater Attorney: Law vs Justice 2017.

Bukan mudah untuk seorang yang masih muda untuk memikul tanggungjawab dan memainkan peranan utama yang sebegini berat. Kesimpulan yang aku boleh buat di sini adalah mudah – Khairi seorang yang gila.

Dan dia bukan seorang sahaja yang sebegitu di KL ini. Ridhwan Saidi. Khairunazwan Rodzi. Christopher Ling. Serta ramai lagi perintis-perintis sebelum mereka – Nam Ron, Mark Beau de Silva, Jo Kukathas. Revolution Stage, Asterik Anak Seni, Theatresauce, Five Arts Centre, I’M Entertainment dan ramai lagi – mereka semua ini gila. Muda ataupun tua, dulu mahupun sekarang. Gila teater, gila seni.

Manakan tidak. Ambil sahaja dialog antara Azim dan bapanya ini:

“Aku tak reti membaca, Zim.”
“Nabi pun tak pandai baca, bah. Nabi tak pandai baca tak pandai tulis, Nabi jugak.”
“Kau janganlah samakan aku dengan Nabi, Zim.”

Gila nak dengar dialog di atas dalam TV ataupun filem. Ini barulah teater. Barulah seni.

Barulah hidup.

About The Author
Profile photo of Adnan Qiyas
Adnan Qiyas

Leave a Response