Editorial
Now Reading
Hak Berkemahuan dalam Seni Moden, menurut Lensa Legasi Ibn Sina dan Fenomena ‘Kosmologi Mi Segera’
Next
Prev
163 1

Hak Berkemahuan dalam Seni Moden, menurut Lensa Legasi Ibn Sina dan Fenomena ‘Kosmologi Mi Segera’

by I. ShahJune 28, 2015

LEGASI Ibn Sina, tokoh seni dunia yang juga dikenali dengan ‘nama glamer’-nya di wacana-wacana sejarah Barat, Avicenna tersemat di mata dunia apabila beliau meninggal dunia pada umur hanya 57 tahun sahaja.

Bermakna Ibn Sina atau Avicenna hidup di waktu tamadun manusia mengizinkan dan meletakkan nilai yang tinggi pada masa untuk mencari, membina, mencipta, berfikir dan berkarya dalam pelbagai disiplin bukan sahaja dalam seni malah juga sains.

TREATIS tidak rasmi ini bukanlah perdebatan daripada pihak yang tidak terkenal, tetapi daripada pihak yang percaya selama ini bahawa keterkenalan itu masih merupakan pilihan peribadi.

Ini perbandingan antara taraf penerimaan ahli seni di Zaman Renaissance dahulu dengan Zaman Maklumat sekarang. Antara Ibn Sina dan mana-mana artist kontemporari.

Paling teruk pun, terimalah ini sebagai perbincangan selektif tentang kemahuan yang mendorong seni; tentang orientasi proses melawan orientasi sukses; tentang perbezaan rutin dan penghayatan dahulu dengan sekarang; tentang kekalutan dan keliaran fenomena persaingan pasca-moden; dan juga satu doa objektif buat ahli-ahli seni yang masih kekal bebas dengan hak memilih yang waras antara kedua-dua konsep kemahuan tersebut.


Interlud: Watak Edward Norton dalam filem yang menjuarai anugerah Oscar yang terkini, Birdman, meludah secara proverbial pada populariti bintang filem superhero bawaan Michael Keaton di suatu babak yang saya minati dan akan mengingati. Seorang aktif dengan hak individunya untuk berkemahuan dalam kraf pilihannya; seorang lagi reaktif dan obses dengan identitinya sahaja, hanya melihat destinasinya, iaitu produk yang berjaya yang menentukan ‘sukses’ atau mati.

Mike Shiner, seorang artisan teater Broadway di Greenwich Village, New York tegas memetah kata kata bintang filem Riggan Thomson dengan kenyataan bahawa “popularity is the slutty cousin of prestige, my friend”, lantas mencetuskan reaksi yang tipikal dan memenuhi stereotaipnya sendiri. Bererti, populariti itu, kawan, pendek kata hanyalah merupakan sepupu murahan pada prestij.

Pada skala yang lebih jenaka, filem Ben Stiller terbaru While We Were Young – tentang seorang pembikin dokumentari yang merasa dirinya tua dan terlajak – juga ada menerokai subjek ini.


Percanggahan antara contoh seni Hollywood dengan seni Islam yang saya pilih, adakah besar bezanya semata-mata kerana jurang ‘sukses’, atau adakah perkara halus ini lebih positif jika dilihat persamaannya melalui lensa proses pembikinan seni kedua-duanya? Pabila membandingkan pengarah auteur filem Birdman yang berjiwa Mexico dan begitu fokus pada bidangnya, Alejandro Innaritu; dengan Avicenna yang serba-hebat dahulu, lebih banyak persamaan antara mereka – cuma rutin, ruang dan masa mereka yang berbeza.

Jadi antara process (proses)- dan success (sukses)-oriented, benarkan saya mencadangkan suatu alunan antara kedua-dua ekstrim ini. Luaran yang populis dan terbuka, harmoni dengan inti yang liberalis dan lebih terpilih dan bermakna. Bagi artist yang jujur, berkesan, dan bahagia, apakah ini idealnya?

Legasi Ibn Sina sebagai cermin seni tradisional dan seni moden

Untuk jiwa seni malah jiwa yang merasa, Ramadan menandakan tempoh refleksi dan pencarian semula peti ilham dan pengumpulan asas ketenteraman untuk berkarya.

Awal minggu lepas, stesen radio urban tempatan BFM telah mengundang seorang tetamu seni yang membuatkan saya terlekat mendengar dan menghayati dengan lebih teliti daripada selalunya. Beliau cukup arif dan tenang dalam penghujahan dan pencerahan beliau mengenai selok-belok seni, dan proses, serta konsep kejayaan – ‘sukses’, untuk warga kini – menerusi contoh pilihannya iaitu ahli seni dan saintis metafizikal yang terbilang, Ibn Sina.

Tetamu terhormat tersebut, Dr. Amir Hossein Zekgroo, seorang cendiakiawan dan sejarahwan seni, Indologis, ahli akademik Iran, intelektual awam, penulis, pelukis, artis kaligrafi dan fotografer. Ada dikemukakan oleh beliau teori ‘fast food cosmology‘ tempoh hari, dan ini kekunci utama yang membuka stimuli awal untuk esei ini.

Dalam wawancara radio selama itu beliau sempat menghuraikan definisi tradisi dan pemodenan dari sudut seni, dan juga transisi individu ke keadaan individu beridentiti. Di samping itu Dr. Amir berkongsi pemahaman, pengetahuan dan pengalaman beliau dalam merumuskan evolusi seni dan juga seniman tradisional dengan seni moden serta pengamalnya.

“Seni tradisional pada era-era silam mencapai suatu tahap di mana ia tidak berfungsi lagi, suatu tahap di mana ia tidak dipersembahkan dengan baik. Jadi berpunca dari itu, ahli seni khususnya menjadi memberontak sebagai reaksi terhadap itu kehancuran itu, dan mula memilih untuk tidak mengikuti lagi autoriti untuk sebaliknya lebih percaya dengan naluri sendiri,” sambung beliau lagi, menerangkan pula pucuk pangkal fenomena ‘individualisme’ dan individualiti.

“Individu sepanjang zaman sentiasa mengenal tempat mereka di dalam masyarakat. Sekarang ini, dari bangku sekolah lagi individualiti dijual balik pada kita sebagai identiti,” kata Dr. Amir.

Hujah teori ‘fast food cosmology’ penemuan Dr. Amir Hossein, ataupun, izinkan saya mengolah – kosmologi mi segera – secara asasnya begini: “Ia satu worldview ataupun tanggapan universal yang mengikuti percorakan sebuah sistem fast food. Maksudnya kamu tidak berminat pada proses, kamu tidak berminat pada bahan-bahan mentah; malah kamu sebenarnya dalam keadaan jahil akan proses dan bahan asas sesuatu perkara. Kamu cuma berminat dengan keputusan dan produk akhir sahaja.”

Dalam ertikata pemakanan (apatah lagi seni), “kamu” di sini, tidak menghormati makanan itu. “Kamu” cukup berpuas hati kerana berjaya mencapai sasaran untuk memakan tengahari; sambil menelan makanan segera yang dipesan melalui mikrofon, sambil bercakap di telefon dan menuturkan sesuatu yang tidak berapa didengari pada seseorang yang tidak hadir dan tidak dilihat; dan “kamu” melakukan kesemuanya di dalam kereta yang sedang bergerak.

“Saya fikir, ini berlaku di dalam seni juga. Di mana sepatutnya kita memerhatikan kualiti sesuatu proses penghasilan karya, yang ditekankan produk akhir. Ada lukisan yang mengambil bertahun-tahun untuk dihasilkan, di lebih dari satu tempat. Tetapi orang akan kata, itu gila, kerana kamu tak menghasilkan satu kuota yang mencukupi, seolah kuantiti dan nombor lebih penting.”

Di kala ini, kita sedang mengalami suatu inflasi seni; kita menerima lukisan dengan jumlah yang melebihi ruang di dinding. Jadi kita pun mencipta sistem untuk justifikasi, sistem yang bercorak jual-kumpul secara repetitif dan sekaligus menaikkan harga sedikit demi sedikit. Jadi tidak hairan juga jika apa yang digadai dalam proses sebegini tentulah nilai. Seniman seperti ini menjadi hamba yang bekerja untuk pengumpul.

Definisi tamadun dan implikasinya di dalam seni moden

Dewasa kini, pengertian ‘tamadun’ selari dengan budaya didaktik kesenian yang wujud buat penghayatan strata-strata masyarakat yang lebih ‘tinggi’ dan ‘terkedepan’. Dan seni yang diketahui dan diwar-warkan sehingga hari ini dan ketika ini; yang diangkat dan dijulang di pusat kosmopolitan bertamadun dunia, terutama tamadun Barat, hampir selalunya sudah pastilah high art, yang ditentukan para intelligentsia seni mereka (dan juga skolar kita, yang dijajah dan akan sentiasa terpengaruh dengan nilai Barat).

Seni kaya untuk orang kaya; seni miskin untuk orang miskin. Atau meminjam istilah Barat – high art melawan kitsch; hi-brow vs. lo-brow.

Dr. Amir tidak berpendapat begitu: yang tersebut adalah menurut ketetapan Barat dan definisi yang telah diperkukuhkan dan diperbaharui sepanjang zaman moden. Perhatinya: “Dalam masyarakat tradisional, seni wujud di mana-mana. Alat-alatan, objek-objek harian, peralatan dapur; sebuah pasu bunga, sebuah pedang; permaidani, perabot, pakaian dan alat kecantikan serta senjata pada masa itu, semuanya dihasilkan dan dipergunakan dengan estetik dan nilai keindahan yang tinggi.”

Beliau mengasingkan muzium-muzium di Malaysia sebagai contoh peninggalan masyarakat yang dimaksudkan, dengan kekurangan oil painting di dinding-dinding hanya sekadar pengamatan estetik, dan keutamaan terhadap alatan-alatan harian yang telah saya sebutkan itu.

“Kita mengenali sebuah tamadun dengan kewujudan seni yang tinggi; kita tak memandang kekayaan, teknologi dan kuasa senjata semata-mata. Jika kamu tak punyai seni, dalam maksud yang begitu tinggi, kamu tidak layak digelar tamadun,” ulas Dr. Amir lagi.

“Jika kita melawat Borobudur: ianya merupakan satu hasil kesenian yang gah, terperinci, begitu halus dan mempesonakan. Perasaan yang sama bila kita mengamati sekeping lukisan yang berada di luar galeri, dan kita memilih untuk menilainya dengan lebih penghayatan berbanding lukisan-lukisan di dalam galeri. Inilah identiti individu – hak untuk memilih dan berkemahuan, tanpa penerimaan luar.”

Apa yang kita saksikan di sini adalah kita telah meneruskan apa yang kita sedang lakukan seperti biasa, dan kita melakukannya atas syarat sendiri. Mujurlah, percaya Dr. Amir, yang hak asasi untuk berkemahuan dalam pilihan kita seperti ini, sama ada dalam seni atau apa-apa sahaja, masih hidup pada hari ini setelah berkurun lama.

Merenung kematian masterpiece dan kepentingan individu

Dr. Amir membuat perbandingan antara galeri dan, masjid atau gereja contohnya. Memperhatikan karya-karya di kedua-dua tempat, ada yang bertandatangan, ada yang tidak. Di galeri, kesemua karya dicop dengan kenyataan individu; mural-mural yang menghiasi masjid, gereja, kata Dr. Amir, tiada tandatangan identiti kerana si penerima karya tidak memerlukannya. Ia seni yang berfungsi, dan dengan fungsi itu, ia menjadi cukup justifikasi untuk kewujudannya.

Di sebalik tamadun hipermoden di saat ini, persoalan lain yang dibangkitkan: Kenapa tiada lagi karya yang dijulang sebagai masterpiece?

Pertama, ruang dan masa dahulu dan sekarang tidak sama. Karyawan bernafas dengan kerja yang dihasilkan, dengan proses penghasilan diletakkan sebagai prioriti tertinggi. Sekarang, hujah Dr. Amir, kemewahan ruang, masa dan proses begitu terhad lalu tidak sama kondusif untuk fokus mendalam yang diperlukan oleh seniman yang bercita-cita.

Karya masterpiece Eropah dahulu, seperti mural bumbung Sistine Chapel oleh Michaelangelo, dihasilkan sebagai satu kerja, seperti seorang pembuat perabot; lebih dari satu overture dan finale opera-opera paling terkenal Mozart disiapkan betul-betul pada malam sebelum dipersembahkan di teater. Kedua-dua mereka juga menghasilkan karya-karya hebat ini dibawah komisyen golongan atas.

Nilai yang diletakkan ke atas kedua-dua contoh ini jugalah yang membawanya melewati beberapa tamadun dan generasi sehingga ke hari ini. Dr. Amir mengajak kita untuk membayangkan jika kedua-dua artisan itu berkarya pada zaman sekarang.

“Zamana sekarang kita tidak lagi punyai kesatuan; sebaliknya penuh dengan diversiti. Dan jika kita tidak membuat sesuatu demi diversiti yang indah ini, ia juga akan lebur dalam masyarakat,” kata beliau.

Bicara realisasi diri: tentang kebebasan, prestij, nilai dan matinya masterpiece di era hipermoden   

Kebebasan untuk seniman – untuk individu, identiti dan individualisme – juga amat terhad di era serba-pilihan dan kacau-bilau yang selari dengan teknologi, kebingitan maklumat dan kerajaan ekonomi yang menguasai masyarakat dunia.

Prestij juga sudah begitu dalam kesongsangan nilai yang menetapkan sekeping seni yang berpotensi menjadi masterpiece hanya digelakkan sahaja dikala dunia terlalu padat dengan pelbagai jenis “seni”. Cita-cita atau ambition di dalam seni juga cenderung menjadi bahan ketawa sebelum ia berpeluang untuk dimanifestasikan ke dalam kerja seni dikala tiada lagi yang originaliti yang kekal.

Nyata tamadun moden sudah wujud dan hidup di bumi begitu lama; barangkali sudah terlalu lama.

Begitu juga implikasinya dengan realisasi diri, satu lagi impian manusia yang semakin dihimpit: “Definisi ‘diri’ kita di tahap kolektif, pada saya kini juga kehilangan,” Dr. Amir berkata. Beliau melihat contoh disintegrasi ini di dalam sukan spektator moden, di mana tiada lagi pemain kebangsaan dan warga asing diberikan kewarganegaraan serta dibayar untuk menjaringkan gol – semuanya dengan semangat yang berorientasikan ‘sukses’ yang disebutkan tadi.

“Charmeurdes Serpent”, Abdel Aziz Hounati; Morocco. Di pameran ‘Islam Contemporary’, Whitney Center for the Arts dan Lichtenstein Center for the Arts; Pittsfield, Amerika Syarikat, 2013.

Apa itu ‘Berkarya’ & konsep “Kemahuan” dalam seni

Tidak semua artist di dunia ini perlu mahupun akan, bersetuju, mahu berhubungkait atau menyayangi antara satu sama lain. Bagaimana untuk menyukat kebebasan seniman moden dewasa, kini dengan hanya pilihan peribadi sebagai kayu ukur?

“Berkarya di zaman ini, sudah menjadi satu persaingan. Kalau diberikan trofi ini atau trofi itu, ataupun siapa-siapa yang mengiktirafkan kamu, barulah kamu layak digelar seorang artist yang baik. Kalau tiada yang mahu mengiktiraf, kamu sendiri mula berhenti meletakkan nilai pada diri sendiri sebagai seorang artist yang baik – walaupun kamu artist yang baik – hanya disebabkan mereka yang tidak meluluskan kamu. Keadaan ini perit bagi mana-mana artist yang berkarya di zaman ini,” jelas Dr. Amir.

Tidak rugi juga jika kita langgar dan terokai persoalan keramat ini – walhal itulah yang diajak pendengar oleh Dr. Amir Hossein di BFM tempoh hari. Apa yang dimaksudkan dengan ‘true‘ pabila berbicara tentang berkarya dan menjadi seorang karyawan ini? Adakah ia berbeza pula jika kita mengikut sudut pandang perbezaan gender, generasi, genre dan status?

Hak bebas berkemahuan dalam berseni, seperti yang dijiwai dengan universal oleh Avicenna – perintis ahli seni Muslim yang agung itu – harus diperjuangkan dan dikekalkan tidak kira zaman, selama zaman-zaman yang masih ada untuk menerima seni untuk masyarakat-masyarakat yang menerajui tamadun-tamadun akan datang.

About The Author
Profile photo of I. Shah
I. Shah
Once upon a time a footballer who retired as a teen after a fatal combination of favouritism and having "rocker's legs". Nowadays he's doing alright as a musician who writes about uncool things like peace, love and destiny. Izuan was associate editor for The Daily Seni.
1 Comments
  • Seorang Anon
    June 29, 2015 at 9:55 pm

    Bagaimana artis ingin berkarya tetapi pada masa sama menitik beratkan nilai berkarya itu sendiri (process) sedangkan zaman kini lebih mengangkat seni sebagai komoditi dari seperti yang penulis artikel cadangkan? Contoh nya filem sebuah komoditi untuk studio dan studio mana akan membenarkan seorang pengarah “auteur” untuk membikin filem yang tiada siapa ingin tengok?

    Selain itu adakah penulis tidak mengendahkan langsung pandangan penggiat seni secara kolektif dalam menentukan sebuah konsensus samada sesuatu itu bernilai ataupun tidak? Contoh, bukankah pemilihan “Oscar members” itu eksklusif dan hanya akan dianugerahkan kepada yang berkelayakan sahaja? Apabila mereka mengundi untuk pemenang Oscar untuk suatu kategori, nasib mereka akan ditentukan oleh “creme of the crops”, adakah keputusan ini suatu “folly” dan seperti tidak mempunyai asas?

    Memetik Fran Lebowitz yang menjelaskan kata-kata Toni Morison iaitu “write what you want to read”, beliau menjelaskan bahawa bukan semua orang layak untuk menulis seterusnya menulis sesuatu yang baik kerana dari situ terhasil karya karya yang teruk. Akhirnya terdapat lambakan karya penulisan yang langsung tiada nilai yang kemudiannya di adaptasi ke dalam filem dan rancangan televisyen; seterusnya mencapai lebih ramai audiens dan pada skala yang lebih merisaukan.

    Art is for everyone, but good art should be reserved for the greats. Especially in this time and age, there are a lot more going on. In the age of social media, you shouldn’t be concerned with doing better, rather doing more. Because if it’s good, the clock in counting the duration of its “prestige” is already ticking. Nobody really cares anymore nowadays. Theres too much going on. Great art is dying. Nu-art will triumph, one that is concerned with pandering to people’s needs and also to be inherently boisterous

Leave a Response