Reviews
Now Reading
Gugurnya Kopiah Putih – Kesederhanaan Yang Jarang Terserlah
316 0

Gugurnya Kopiah Putih – Kesederhanaan Yang Jarang Terserlah

by Anak DagangNovember 7, 2015

KESEDERHANAAN di dalam kehidupan, barangkali adalah sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan. Lebih-lebih lagi jika kehidupan yang dibentuk sewaktu kita berada di dalam keadaan kehidupan yang naif, bergolak secara ekstrem dan tidak memberi peluang akan kesederhanaan itu mengambil tempat yang sepatutnya.

Tidak dapat kita nafikan bahawa siapa diri kita pada waktu ini, dibentuk oleh kehidupan silam yang penuh dengan warna-warni dan bukannya hanya berlandaskan hitam dan putih. Diri kita mula dibentuk dan dikawal penuh oleh ketua keluarga iaitu si bapa. Si bapa yang melaksanakan arahan dan kekuasaan secara penuh. Kehidupan berkeluarga adalah kehidupan peribadi yang membentuk naratif kehidupan kita. Dan dari itu kita dipupuk untuk bersiap sedia menghadapi kehidupan bermasyarakat. Jalinan linear ini, tanpa segan silu mendominasi sudut pandangan kita dan segala luahan atau tindakan yang kita lakukan, sedikit sebanyak dapat dicari bagi memahami segala aspek tindakan kita.

Bagaimana pula dengan kebanyakan kes individu yang sering melakukan keganasan yang melampau sehingga mereka berjaya menjadikan kehidupan seseorang menjadi porak-peranda dan penuh dengan kesengsaraan? Adakah nilai kesederhanaan itu masih boleh diguna pakai secara optimum?


Rasanya persoalan akan nilai-nilai yang tidak hadir inilah yang cuba di rungkai oleh pementasan teater ‘Gugurnya Kopiah Putih’. Teater sebagai bentuk seni, sama seperti bentuk-bentuk seni yang lain bertujuan untuk menyatakan suatu mesej yang dengan harapan ianya mampu mencetuskan beberapa persoalan kepada para penonton. Seni tidak hanya mengutamakan aspek estetik semata-mata, tetapi turut juga mengutamakan tema yang mampu meningkatkan lagi kualiti kehidupan masyarakat setempat. Dan sini tema kesederhanaan itu adalah nilai yang cuba dibangkitkan oleh kumpulan produksi teater ini.

Teater ini bermula dengan karakter Abu Hamas, seorang anak muda yang kacau pemikirannya. Teater ini memberi ruang kepada karakter Hamas untuk menceritakan pengalamannya, dan sebagai justifikasi kepada tindakan-tindakan beliau yang dengan jelasnya dapat disamakan dengan tindakan seorang ekstremis. Dan dari situ kita dapat lihat secara jelas, bagaimana keadaan pendidikan kita, disertai dengan keadaan sekeliling yang turut menyatakan pendekatan yang silap (seperti kes buli atas nama kehidupan) berleluasa di sekolah-sekolah asrama di negara kita.

Kenaifan Anak Muda Dan Pembentukan Watak Yang Ekstrem

Anak-anak muda yang menjalani kehidupannya di sekolah seperti ini, tidak sedar akan kepincangan sistem yang ada, menerima dan dengan penuh kekuatan menjalaninya tanpa langsung mempersoalkan apa-apa. Mungkin sahaja kita semua merasakan bahawa begitulah keadaan yang sepatutnya. Kita melaksanakan apa-apa sahaja yang disuruh, dibasuh mindanya dengan begitu sahaja tanpa berani mempersoalkan apa-apa. Lebih-lebih lagi jika semua ini dilaksanakan atas nama agama, yang seringkali diiringi dengan dogma dan suasana ketakutan.

Pergolakan jiwa anak muda yang masih naif, dengan emosi yang membuak-buak, secara pastinya membentuk perwatakan kita yang bakal kekal dan menemani kita hingga ke akhir hayat. Teater ini, dengan pendekatan yang minimal membawa persoalan-persoalan yang sudah jelas dan yang sudah jelas itulah yang membutakan kita, dengan angkuh kita merasakannya bahawa ia adalah sesuatu yang sudah selesai. Langsung kita beralih kepada persoalan-persoalan yang lain pula, sedangkan kita tidak sedar akan persoalan yang biasa itulah merupakan hal yang paling besar dan harus dinyatakan secara tegas berulang kali.

GKP-12

Menurut sudut pandang saya, persoalan-persoalan seperti kejahatan alamiah dan punca dogma di dalam ruang keagamaan adalah hal yang disampaikan melalui teater ini. Penulis skrip seakan-akan memberi diagnosis sebagai contoh kepada para penonton agar tidak membiarkan keadaan yang dipersembahkan itu berlangsung secara berleluasa. Lebih-lebih lagi teater ini menyentuh aspek agama yang suci, dan bagaimana sesuatu yang suci itu, apabila diterjemahkan ke dalam simbol-simbol di dalam ruang kehidupan manusia menjadi rosak apabila disulami dengan pergolakan jiwa manusia yang kompleks.

Kewarasan Yang Dipergunakan Dan Batas Rasionaliti

Tidak lupa persoalan akan penggunaan akal manusia itu sendiri, jika tidak dikawal dengan nilai kesederhanaan dan kesedaran akan batas-batasnya sendiri, bakal di pengaruhi oleh emosi-emosi negatif yang selama ini terkumpul oleh pengalaman kehidupan. Ini dapat dilihat melalui penjelasan Dafi Cipan tentang perlunya kekuatan menahan ‘buli’ atas nama mempertahankan agama. Bagaimana kita mampu menghubung kaitkan tindakan buli dengan agama? Bagaimanakah disiplin dan kekuatan untuk menjangkaui cabaran dan halangan dengan memperlekehkan keberadaan anak kecil yang masih naif?

Ya, mungkin kita sebagai para penonton barangkali tidak langsung dapat menerima justifikasi seperti ini kerana ia tidak masuk akal. Tetapi pada masa yang sama kita juga harus sedar, bahawa pemikiran seperti ini masih jelas berlaku di sekolah-sekolah asrama. Dogma ataupun suatu kerangka pemikiran masih mendominasi sesuatu kawasan. Dan para pelajar yang menjadi mangsa terpaksa menerimanya tanpa mampu berbuat apa. Langsung dari situ, tanpa mempunyai kuasa untuk memahami keadaan yang berlangsung dengan penuh, pelajar yang dibuli beralih mencari suatu jalan eskapisme yang barangkali membawa kemungkinan akan sesuatu yang lebih teruk dari apa yang terjadi sebelumnya. Ini pada akhirnya ditunjukkan pada babak akhir, di mana watak Hamas dipilih (dipergunakan) untuk menjayakan sesuatu objektif yang lebih besar (menjadi pengganas).

GKP-22

Trauma zaman persekolahan bukanlah sesuatu yang harus diambil ringan, ia membentuk sudut pandang kita semua. Apa yang kita nyatakan pada waktu ini adalah apa yang pernah berlaku pada waktu yang lepas. Sejarah tidak harus dibiarkan begitu sahaja, sebaliknya harus punyai usaha untuk memahami dan melihat di mana silapnya.

Secara umumnya, sikap kesederhanaan itulah yang jarang diserlahkan. Malah melalui tindak balas di antara beberapa individu, jika tidak dibendung secara halus pastinya akan membuahkan suatu keadaan di mana yang negatif itu lah yang bakal berleluasa. Teater ini menyampaikan mesej seperti itu, kesederhanaan mungkin sahaja dilihat sebagai sesuatu yang biasa-biasa sahaja, tetapi tidak dinafikan melalui kesederhanaan lah batas akan sesuatu itu mampu disedari. Seperti rasionaliti yang dilihat sebagai mandiri itu pastinya membawa ke bahana perang yang benar-benar merosakkan dunia kita, dan melalui kesederhanaan menunjukkan bahawa kesemua yang mampu digarap oleh kita tidak pernah mutlak dan pastinya mempunyai batas-batasnya. Dan pengakuan akan batas-batasnya akan membuahkan suatu pemahaman bahawa semuanya jika tidak dikawal dan dibendung akan membawa kepada keadaan yang lebih membahayakan.

About The Author
Profile photo of Anak Dagang
Anak Dagang
Anak Dagang seorang warga kota Kuala Lumpur yang ingin terus menulis. Anak Dagang is a senior contributor to The Daily Seni.

Leave a Response