Music
Now Reading
Gerakan Indie Hujan Mencecah 10 Tahun Komemorasi
Next
Prev
403 0

Gerakan Indie Hujan Mencecah 10 Tahun Komemorasi

by Marwan ZOctober 8, 2015

“DARIPADA sekecil-kecil venue di Annexe, Central Market sampai sehebat-hebat venue di Dewan Filharmonik Petronas…” Frasa itu sahaja sudah cukup menggambarkan pahit getir perjalanan muzik kugiran Hujan yang bermula sejak tahun 2005.

Foto oleh Ahmad Saiful “Cipoi” (Senselessart.com)

Memilih untuk memperjuangkan muzik yang akhirnya digelar indie serata Malaysia, kugiran Hujan kini mencecah sedekad penubuhannya dalam industri muzik tanah air. Bersempena dengan itu, Hujan akan mengadakan Konsert Hujan 10 Tahun yang bertempat di KL Live, Life Centre pada 31 Oktober ini.

Kumpulan yang terdiri daripada Noh Salleh (vokal, gitar), AG Coco (gitar utama), Izzat Uzaini (gitar bass) dan Ambobzeela (drum) ini telah pun menghasilkan empat buah album dan dua buah EP, antaranya 1,2,3,GO?, Lonely Soldier Boy, Mencari Konklusi, dan Sang Enemy.

Sepanjang 10 tahun, banyak pencapaian sudah dibuktikan Hujan dalam industri muzik tempatan seperti juara Versus 2012 serta Album Rock Terbaik dan Lagu Rock Terbaik di AIM16 pada tahun 2009 antaranya.

Jika diamati, dari sudut pengkaryaan muzik, Hujan sebenarnya adalah sebuah kugiran yang sangat fleksibel dan tidak terfikir-fikir untuk berevolusi dengan karya-karya mereka. Lihat sajalah dari album ke album anda pasti akan rasa mood serta melodi malah genre sekaligus yang sangat berbeza; mereka boleh melangkaui batas dan pergi sekeras “Mana Mungkin” dan kembali melankolik menerusi “Hiba” atau lagu-lagu yang menggamit memori seperti “Muda”; dari kocakan The Strokes hinggalah ke sound berat metalcore ibaratnya kompas kebolehan mereka.

Foto oleh Ahmad Saiful “Cipoi” (Senselessart.com)

Selain itu, perkara yang paling menarik tentang Konsert Hujan 10 Tahun ini adalah, Raingers sendiri yang memulakan kempen hashtag #Hujan10Tahun di media sosial sebagai permintaan untuk merealisasikan konsert Hujan 10 Tahun. Frasa dalam lagu Mana Mungkin pasti sesuai untuk turn up the mood untuk Hujan 10 Tahun, “Semua ok, bangkit saja darah muda!”

So, Raingers semua dah ready belum untuk Hujan 10 Tahun? Satu, dua, tiga, go…


Konsert selama dua jam yang akan bermula jam 4 petang itu akan memperdengarkan lebih dari 20 buah lagu dari EP 1,2,3 Go? (2006) hinggalah ke Sang Enemy (2012). Tiket hanya dijual secara online dan berharga RM53 (tidak termasuk yuran tiket sebanyak RM3). Tiket Hujan 10 tahun boleh didapati di sini http://www.galactix.asia/hujan10tahun.

Jadi, apa lagi Raingers – mari merapat di Hujan 10 Tahun tanggal 31 Oktober ini!

About The Author
Profile photo of Marwan Z
Marwan Z
Marwan kukuh memegang citra anak muda, menghargai budaya alternatif dan seni sebagai landasan utama sesuatu tamadun.
Comments

    Leave a Response