Editorial
Now Reading
‘Garitik Gereteh’ Ensembel Caklempong di ASWARA
cklmpg_crop
331 1

‘Garitik Gereteh’ Ensembel Caklempong di ASWARA

by Pribade Abdullah BongkokOctober 18, 2015

CAKLEMPONG atau talempong adalah sejenis ensembel (muzik) yang berasal dari Kepulauan Sumatera, atau lebih khususnya – alat muzik suku Minangkabau.

Di Tanah Melayu, caklempong amat sinonim dengan Negeri Sembilan, di mana negeri ini juga sinonim dengan negeri adat pepatih Minangkabau. Mengikut sejarahnya, kedatangan suku Minangkabau ke Tanah Melayu telah lama sejak (mungkin) sebelum zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka lagi.

Mereka datang sebagai pedagang dan menetap di daerah Rembau, Naning dan Sungai Ujong. Perantauan mereka sudah tentu membawa sekali keluarga, peradaban, seni dan budaya.

Pemastautinan Minangkabau ini berkeputusan untuk berkahwin dengan Orang Asli, yakni penduduk asal yang memerintah Negeri Sembilan, maka terhasil-lah suku yang dinamakan Biduanda.

Walaupun ia bukanlah Minangkabau asli, namun peradaban dan undang-undang yang dipakai tetap mengekalkan warisan sehingga meng-import putera raja dari Pagar Ruyung sebagai raja yang mengepalai suku-suku di Negeri Sembilan, sebuah negeri baharu wujud ketika itu. Sebelumnya, Negeri Sembilan berada di bawah jajahan Kesultanan Johor.

Maka datanglah Raja Melewar ke Penajis dan dilantik sebagai Yamtuan Besar pada tahun 1773, demi menjaga kesinambungan adat Minangkabau agar warisan tersebut tidak terkubur di Tanah Melayu ini.

Selain adat pepatih, pakaian, makanan, arkitektura dan bahasa, warisan lain yang kekal ialah caklempong.


Kesenian tulen

Memaklumi akan kepelbagaian kesenian tulen [sengaja tidak mahu melabelkan ia sebagai kesenian tradisional kerana boleh menimbulkan tanggapan bahawa kesenian ini layaknya sebagai lapok] di negara ini, Pusat Seni Pentas Tradisional ASWARA (PuTRA) menganjurkan acara Gema Seni Tradisional membawakan persembahan caklempong dengan tajuk Garitik Gereteh* pada 20 Oktober ini di Dewan Orkestra ASWARA, bermula jam 8.30 malam. Masuk adalah PERCUMA.

cklmpg

Istimewanya kali ini, PuTRA mengundang dua tokoh caklempong dari dua latar yang berbeza: Tuan Haji Rahbeni Muta’al, pengkaji dan adiguru caklempong di ASWARA; dan Encik Yuzaimuddin Md. Yusof atau lebih dikenali sebagai Pak Yuzi, seorang penggiat caklempong di Negeri Sembilan yang memiliki lebih 30 tahun pengalaman.

Oleh demikian, persembahan caklempong pada malam tersebut akan menggabungkan dua kumpulan iaitu: Kumpulan Sanggar Leluhur yang dipimpin oleh Pak Yuzi dan kumpulan caklempong ASWARA dalam segmen Caklempong Moden di mana khalayak akan diperdengarkan fungsi caklempong dalam irama muzik kontemporari. Tidak mustahil jika caklempong memainkan lagu Enter the Sandman!

Selain segmen caklempong moden, Kumpulan Sanggar Leluhur juga akan tampil dengan segmen Caklempong Pacik atau Paciak yang lazim dimainkan ketika hari-hari kebesaran atau meraikan pembesar-pembesar negeri. Caklempong Paciak boleh membangkitkan semangat sekampung dengan iramanya yang ceria.

Diikuti dengan segmen Caklempong & Bangsi di mana iramanya lebih asyik dengan pantun-pantun yang klasik. Kemudian, khalayak juga dihidangkan dengan persembahan yang menyatakan fungsi caklempong di dalam tarian, silat dan pesta mengemping.


Tak kenal tak cinta

Tidak lengkap jika hanya datang menonton persembahan tanpa mengenali tokoh dan caklempong. Bak kata pepatah: tak kenal maka tak cinta. Bagaimana hendak menghayati keindahan caklempong jika tidak mengenalinya.

Oleh itu pada hari yang sama, di sebelah petangnya, PuTRA juga menganjurkan program Citra Seni – Caklempong Malaysia Satu Asimilasi pada jam 4.00 petang – 6.00 petang, di Dewan Orkestra ASWARA, dengan menampilkan tokoh yang sama.

Di sini, khalayak akan diperkenalkan sama ada secara asas atau mendalam mengenai caklempong dan masa depannya.

Ayuh seniman Malaysia! Ayuh bersama saksikan kesenian tulen ini. Jangan terlalu asyik memandang ke langit, sehingga lupa bumi dipijak.


* Menurut Tuan Haji Rahbeni Muta’al, istilah garitik bererti teknik bermain dengan menggunakan ‘nada hiasan’, yang mencorak ritma dengan olahan kinestetik kedua-dua belah tangan.

Gereteh pula merupakan satu alat dalam ensembel caklempong yang penting dalam menampilkan corak ritma interlocking system.

Tajuk Garitik Gereteh mengungkap keindahan bermain caklempong yang sangat mementingkan kepandaian seseorang menggaritik sehingga menjadikan ianya tersendiri.

Garitik Gereteh satu ungkapan yang menggambarkan suatu kesinambungan bunyi yang mengalir dari dalam tubuh pencinta caklempong, ia seolah suatu luahan rasa yang tebal terhadap seni tradisi.


Kredit foto: PuTRA

About The Author
Profile photo of Pribade Abdullah Bongkok
Pribade Abdullah Bongkok
hamba SENI yang suka sakat suku sakat. Mula jatuh cinta pada pentas sejak budak-budak, sejak mengenali pentas di Dewan Orang Ramai kampungnya, di mana pada bahagian atas tirai agungnya tertulis: 'Pribade'.
1 Comments

Leave a Response