Now Reading
Galeri Projek Rabak Dibuka Di Wisma Central
Projek Rabak Galeri
177 0

Galeri Projek Rabak Dibuka Di Wisma Central

by The Daily SeniSeptember 17, 2015

Kolektif seni anak-anak muda dari Ipoh, Projek Rabak yang ditubuhkan pada tahun 2011 telah pun melancarkan Galeri Projek Rabak di Wisma Central, sebuah kompleks membeli belah yang bersebelahan KLCC pada awal bulan September tahun ini.

Berbeza dengan Khizanat yang merupakan ruang seni dan kafe, idea galeri di Kuala Lumpur adalah ruang di mana seniman-seniwati dapat mempamerkan karya-karya mereka termasuklah seni visual, sastera dan juga muzik.

Pada masa yang sama juga, ruang ini dilihat sebagai ruang informal ataupun tempat lepak bagi anak-anak muda untuk berkomunikasi dan berbicara mengenai gerakan seni tempatan.

Gerakan alternatif Projek Rabak yang bermula dari Ipoh berniat untuk menjadikan Wisma Central sebagai permulaan bagi golongan amatur yang ingin mulai berjinak dengan citra mandiri dan etos budaya alternatif, yang semestinya berbeza dengan budaya yang formal dan eksklusif.

Projek Rabak Galeri 02

Salah satu pengasas Kolektif Projek Rabak, Jayzuan melihat kawasan Wisma Central sebagai ruang yang strategik untuk menarik minat anak-anak muda. Beliau meneruskan, “Tempat ini mempunyai potensi dari segi pengangkutan dan senang untuk ditemui. Kami juga ingin cuba menghidupkan semula budaya yang memberi keutamaan kepada komuniti, seperti mana yang telah berlaku di Ipoh yang bermula pada lewat 90an. Kami ingin mengutamakan pendekatan yang inklusif dan memberi fokus kepada anak-anak muda yang dahaga dengan budaya alternatif tempatan.”

Pihak Projek Rabak mengajak anak-anak muda untuk datang ke ruang seni mereka dan memeriahkan suasana budaya alternatif di Kuala Lumpur. Sifat keterbukaan ini juga dilihat sebagai salah satu faktor yang mampu mengukuhkan lagi etos mandiri yang berlangsung sejak tahun 90-an lagi.

Projek Rabak bakal melaksanakan acara Ipoh Kreative 2016 iaitu pada 24hb Januari sehingga 30hb Januari dan juga pada hujung bulan Oktober, mereka bakal menjadi kurator muzik untuk festival Kakiseni di Ipoh. Pada bulan November pula, Projek Rabak bakal menerbitkan satu buku yang merangkumi penulis-penulis dari seluruh Asia Tenggara, sebagai salah satu langkah kami untuk masuk ke ruang rantau ini.

About The Author
Profile photo of The Daily Seni
The Daily Seni
The Daily Seni delivers news on local arts and culture, aiming to provide insight into Malaysia's ever-growing creative community as well as provoke thought and discussion.

Leave a Response