Film & TV
Now Reading
Filem-Filem Tempatan Yang Bakal Menawan Hati Anda Bulan Ogos Ini!
Next
Prev
731 2

Filem-Filem Tempatan Yang Bakal Menawan Hati Anda Bulan Ogos Ini!

by Deric EctAugust 4, 2015

Tuan-tuan dan puan-puan! Bulan lapan tahun ini menyaksikan cuma lima tayangan filem tempatan baru di pawagam-pawagam berhampiran anda. Sekali imbas, Ogos seperti tidak berbeza dengan Julai, malah lima filem yang dikeluarkan bulan lepas juga berbeza dari segi genre, demografik sasaran dan nilai komersil.

Apa kata kita kaji prestasi industri filem tempatan bulan Julai!

Berdasarkan laman web Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), filem yang meraih kutipan paling besar bulan lepas adalah Vere Vazhi Ille, sebuah filem tamil yang berjaya mengumpul hanya RM167,965 selepas dua minggu di pawagam. Kalau inilah keputusan yang paling memberangsangkan di box office tempatan, ke manakah haluan industri filem negara?

Filem-filem yang dikeluarkan sempena Hari Raya Aidilfitri pula tidak berapa menarik bagi penonton-penonton – Suamiku Jatuh Dari Langit dan Gangsterrock: Kasi Sengat antaranya, mungkin menampilkan pelakon-pelakon dan selebriti senarai-A tetapi malangnya gagal mencecah kutipan RM100,000 selepas lima hari di pawagam!

Walaupun begitu, berita baiknya adalah minggu pertama bulan ini bakal mendukung ke layar perak sebuah filem yang menggandingkan bakat-bakat Indonesia dengan ahli-ahli seni tempatan. , arahan Dede Ferdinan (Misteri Cipularang), adalah salah satu daripada dua filem seram yang ditayangkan di sini bulan ini. Ia dibintangi Maria Farida, Alia Farhani, Dewi Amanda, Cleopatra Djapri dan ramai lagi pelakon yang kami tidak sedar wujud sebelum ini.

Inilah ciri yang paling ketara dalam tiga filem keluaran Ogos tahun ini.

Tiada bakat tempatan yang disayangi malah dikenali ramai yang menunjukkan muka di dalam Ciliwung, Gudnite, The Noise, dan Misi Rayyan & Danish: Jangan Ambil Rumah Kami: ketiga-tiga filem ini harus cekap dengan pengendalian laman-laman sosial seperti Facebook dan Instagram demi mengundang orang ramai ke pawagam kerana dari pandangan pertama macam tiada bajet untuk membuat promosi besar-besaran.

Setakat ini, Ciliwung, Gudnite sudahpun mengumpul sebanyak 111 suka dalam Facebook, manakala kami langsung tidak dapat jumpa laman-laman Facebook The Noise dan Jangan Ambil Rumah Kami selepas lima minit mencari-cari.

Tetapi tak mengapa. Kalau penerbit-penerbit filem-filem ini tidak cukup kisah untuk menggigihkan lagi promosi ataupun menyediakan maklumat yang senang diakses penonton, kami pun malas ingin meyakinkan para pembaca untuk menonton hasil kerja mereka. Malahan kami ingin kerajaan dan semua institusi kewangan menilai semula proses penganugerahan dana dan pinjaman wang kepada produksi tempatan yang tidak ada pelan promosi yang sah dan lengkap.

Siapa yang ingat filem animasi Oh! La La keluaran Infinite Motion bulan Mei lepas? Tiada seorang pun? Inilah yang kami maksudkan. Walaupun menelan belanja sebanyak RM4 juta, filem ini cuma meraih kutipan RM36,600 selepas 12 hari di panggung!

Kes sebegini yang kami langsung tidak suka: Oh! La La adalah salah satu filem tempatan (dihasilkan “menggunakan 100 peratus kepakaran tenaga seni kreatif anak-anak muda Melayu” seperti dilaporkan dalam Kosmo) yang dicipta melalui Dana Pinjaman Industri Kreatif ihsan kerajaan, tetapi gagal sama sekali di box office.

Kembali ke subjek asal: filem-filem bulan Ogos yang layak diberikan perhatian pula, dan ada dua karya besar bulan ini.

The Daily Seni amat tertarik dengan Nota, arahan Yasu Tanaka (Lari Sayang, Lari). Drama yang sedikit ngeri ini (namun amat mempesonakan dari segi visual) agak lain dari filem-filem tempatan yang sudah biasa kami tonton.

Pertama sekali, skripnya yang ditulis dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris ini adalah hasil kerja pengarahnya yang berasal dari Jepun. Kedua, Nota dibintangi Maya Karin dan Hans Isaac, kedua-duanya pelakon tempatan berbakat, disukai ramai, dan berbangsa campuran.

Nota agak memukau dalam saat-saat ia berjaya dengan penyampaian ceritanya. Selain memaparkan sinematografi bertaraf antarabangsa (pengendalian bakat negara Finland, Maximilian Schmige), filem ini turut mendedahkan keindahan negeri Sarawak, terutamanya kawasan Bako yang dikenali dengan taman rimbanya.

Kami menyeru pada para pembaca supaya bersabar semasa menonton Nota. Berilah filem ini masa untuk menarik perhatian anda sepenuhnya kerana agak berbaloi tawarannya selepas tamat aksi terakhir.

Selain Nota, satu lagi filem keluaran bulan ini yang kami harap dapat memuaskan peminat-peminat karya tempatan adalah  arahan Saw Teong Hin (Puteri Gunung Ledang, Hoore! Hoore!). Kami belum lagi dapat menyaksikan filem ini tetapi kami tahu ia sudah mencipta sejarah sebagai filem tempatan pertama (mungkin juga antarabangsa) yang dibintangi pasukan bola sepak sebenar.

The Red Warriors, pasukan bola sepak negeri Kelantan, memainkan peranan yang amat penting dalam filem bercorak kembara ini. Walaupun tiada pengalaman berlakon, pasukan The Red Warriors dapat memuaskan pengarahnya, yang sudah terkenal dalam dunia filem tempatan kerana sifat keperincian beliau semasa bekerja.

Sejak awal lagi, Jejak Warriors dijangka amat laris bila ia ditayang 27 Ogos nanti, tetapi perhimpuan Bersih 2.0 yang bakal berlaku pada 29 Ogos mungkin mempengaruhi jualan tiket minggu pertama filem ini di pawagam.

Kita berakhir dengan satu trivia yang agak menarik: tahukah anda bahawa filem ini hanya dapat ditayangkan di dalam dewan sahaja di negeri Kelantan?

Pengeluaran Jejak Warriors di Kelantan sebegini kerana negeri Darul Naim ini melarang sama sekali operasi panggung wayang. Buat yang terkejut, di situlah terletaknya kuasa undi anda setiap pilihanraya – pilihlah pemerintah anda dengan baik, demi kemajuan industri perfileman negara kita!

Baiklah tuan-tuan dan puan-puan, ini sahaja filem-filem yang kami ada untuk bulan ini. Semoga kumpulan maklumat dari kami ini sedikit sebanyak dapat membantu anda membuat keputusan yang lebih bijak di pawagam nanti.

Nantikan edisi bulan depan yang nampak penuh dengan hasil kerja berpotensi tinggi dari segi komersil, dengan judul-judul seperti Jwanita, Girlfriend Kontrak, Polis Evo, Bravo 5, dan Usop Wilcha Meghonjang Makhluk Muzium.

About The Author
Profile photo of Deric Ect
Deric Ect
Deric is contributor and former managing editor of The Daily Seni.
2 Comments
  • Kinwah
    August 4, 2015 at 2:48 pm

    suka sangat uncle baca edisi ini, thanks for brightening my day, sekarang pergi minta derma untuk fund filem

    • Rahhim Omar
      August 5, 2015 at 6:57 pm

      Kinwah…gua pun nk minta derma lah…
      Mau bikin filem tajuk Uncle Kwang & Uncle Bujang…hehehe

Leave a Response