Reviews
Now Reading
Festival Seni Antarabangsa KL: Lima Saudara Nusantara Bersatu Jiwa Di Pentas Monolog
210 0

Festival Seni Antarabangsa KL: Lima Saudara Nusantara Bersatu Jiwa Di Pentas Monolog

by Pribade Abdullah BongkokSeptember 7, 2015

SASTERA merupakan salah satu genre seni di bawah penyelarasan kurator Mohd Khair Ngadiron bersama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), bersempena DiverseCity 2015: Festival Seni Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung sepanjang September ini.

Bermula dengan Malam Baca Puisi PENA-ITBM-DBP yang berlangsung di Rumah PENA pada 4 September yang lalu dan bertemakan ‘Cinta Nusantara’, upacara ini telah menyaksikan pertemuan para penulis, penyair dan penggiat seni tempatan dengan teman seperjuangan dari seluruh rantau ASEAN.

Pada keesokannya, sekali lagi DBP-ITBM-PENA menganjurkan Forum Penyair ASEAN, bertempat di Auditorium Dewan Bahasa & Pustaka Kuala Lumpur. Turut berlangsung pada 5 September itu ialah pelancaran buku Antologi Puisi ASEAN: Suara Kemanusiaan terbitan khas tiga badan yang memperjuangkan bahasa Melayu ini.

Sebelah malamnya, di tempat yang sama, program ini digemakan pula dengan Deklamasi Puisi ASEAN oleh 21 orang penyair dari negara-negara Asia Tenggara dengan mengekspresikan tema ‘Suara Kemanusiaan’.


DIVERSECITY -  MONOLOG ASEANlo

Persembahan yang dinanti-nantikan dalam genre sastera sempena Festival Seni Antarabangsa Kuala Lumpur ini sudah tentunya Monolog ASEAN. Disertai oleh monologis-monologis hebat dari hanya lima negara sahaja iaitu tuan rumah – Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand.

Malaysia diwakili oleh monologis yang tidak asing lagi – Khalid Salleh. Tetapi kali ini Khalid Salleh tidak men-Jual Ubat sebaliknya beliau membawa naskah baharu berjudul Prettt… .

Khalid Salleh

Apakah kisah yang dibawa kali, bersama-sama kita saksikan Monolog ASEAN ini di Auditorium Kompleks JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, bermula 9 September ini hingga 13 September 2015, jam 8.30 malam.

Berjuang bersama Khalid Salleh di pentas monolog ialah Asia Ramli Prapanca dengan tajuk Kedatangan Dalam Bungkusan, Noor Hasnah Adam dengan tajuk Ala… Mak Nak Cakap Sikit Aje…, Zefri Ariff Brunei dengan tajuk Sehelai Kain dan satu-satunya monolog dalam bahasa Inggeris – Patr Weera dengan tajuk While Waiting For The Bus In The Next Four Hundred Something Years.

Asia Ramli Prapanca 2

Setiap malam cuma dua persembahan sahaja:

9 September – Indonesia & Thailand; 10 September – Singapura & Brunei; 11 September – Thailand & Malaysia; 12 September – Brunei & Indonesia; 13 September – Singapura & Malaysia.

Tidak ketinggalan, persembahan selingan oleh Adinda Amiro dengan dendang lagu baharunya.

Juga jangan lupa saksikan prebiu Monolog ASEAN di Central Market pada 8 September 2015, jam 8.30 malam.


Tiket berharga RM20, di mana penonton diberikan senaskah buku baharu terbitan ITBM – Monolog 5 Negara, yang akan dilancarkan pada 9 September itu juga.

Maklumat lanjut, sila layari: diversecity2015sastera.itbm.com.my.

DiverseCity 2015: Festival Seni Antarabangsa Kuala Lumpur bagi genre sastera ini akan ditutupi dengan persembahan gabungan Wayang Kulit Kelantan & Edo Ito Ayatsuri Ningyo dari Jepun, di Kompleks Kraf Jalan Conlay, Kuala Lumpur; pada 19 hingga 22 September, jam 8.30 malam.

About The Author
Profile photo of Pribade Abdullah Bongkok
Pribade Abdullah Bongkok
hamba SENI yang suka sakat suku sakat. Mula jatuh cinta pada pentas sejak budak-budak, sejak mengenali pentas di Dewan Orang Ramai kampungnya, di mana pada bahagian atas tirai agungnya tertulis: 'Pribade'.

Leave a Response