Editorial
Now Reading
Festival Gerakan Seni 2015 – Seni Untuk Komuniti
Gerakan Seni 01
341 0

Festival Gerakan Seni 2015 – Seni Untuk Komuniti

by The Daily SeniJuly 11, 2015

SENI harus berlegar semula dikalangan anak-anak kecil. Barangkali bukan anak kecil sahaja, malah yang sudah dewasa juga mendambakan suatu keadaan dimana aktiviti seni itu tidak lagi terbatas diruang galeri sahaja, sebalik berkembang luas dan sebati ke dalam kehidupan harian mereka.

Samada ianya merupakan masalah definisi ataupun konsep seni itu sendiri, adalah sesuatu yang harus kerap dibincangkan.

Suasana seni di rantau ini harus diberikan nafas baru agar ianya tidak lagi berteraskan suatu model yang tidak membumi, terasing daripada masalah utama yang membelenggu masyarakat. Model yang baru sebaiknya harus terlaksana dekat dengan masalah golongan penduduk yang terpinggir, dihimpit dan lemas dibuai arus global yang tidak dapat dikawal.

Sejak kebelakangan ini, munculnya daya inisiatif yang memberansangkan. Hasil daripada lensa kritikal penduduk tempatan terhadap keadaan seni yang tidak lagi berfungsi, ianya berjaya mewujudkan beberapa penggerak yang mulai menyemarakkan semula diskusi mengenai konsep dan penggunaan seni itu sendiri.


Khas untuk penulisan ini pula kami memberi fokus kepada satu inisiatif yang dijalankan pada tahun 2015. Melalui bahagian pendidikan, Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) melaksanakan satu program festival yang dinamakan “Gerakan Seni”. Inisiatif yang memupuk suatu pemahaman yang luas mengenai konsep seni dan fungsi utamanya melalui suatu usaha kolaboratif diantara para guru, murid, para seniman dan pihak LPSVN.

Tahun ini merupakan tahun ketiga usaha daripada LPSVN melaksanakan programnya di SMK Bandar Baru Sentul, sebagai salah satu daripada 12 sekolah angkat yang dipilih. Program Sekolah Angkat merupakan inisiatif dua hala diantara pihak sekolah dan LPSVN demi merancakkan lagi wacana dan aktiviti seni di kawasan Kuala Lumpur.

Menurut pengarah artistik festival Tan Hui Koon: “Kami ingin memupuk definisi seni yang baru. Kehidupan itu sendiri harus dilihat sebagai seni dan melalui usaha dan projek yang dilaksanakan oleh beberapa artis, pihak kami berharap kolaborasi ini mampu mencetus daya kreativiti yang baru, dengan harapan agar perkembangan individu anak-anak kecil ini mampu dikukuhkan melalui program seni yang sedang dijalankan.”

Beliau meneruskan lagi, “Pihak kami mulai merasa bimbang dengan anak-anak kecil di kawasan kota ini. Mereka yang berasal daripada keluarga yang susah dari segi kewangan, ditambah lagi dengan pembangunan yang pesat, wujudnya kebarangkalian bahawa mereka bakal ditolak dan dipinggir begitu sahaja.”

“Langsung persoalan yang timbul daripada pemikiran kami, bagaimana mereka ingin menghadapinya? Mampukah mereka menyelesaikan masalah-masalah yang berkaitan dengan isu urbanisasi? Jadi disebabkan inilah kami melaksanakan pendekatan yang lebih berteraskan komuniti dan isu kota, agar mereka mampu menjadi praktikal di dalam kehidupan harian mereka dan masih mampu melihatnya sebagai seni yang mempunyai fungsi.”

Pangrok Sulap

Yang menarik untuk festival ini adalah pilihan para seniman yang dipilih membawa pendekatan yang unik, tetapi masih berlandaskan asas seni yang dipelajari mereka. Sebagai contoh kolektif KONTAK yang membawa pendekatan multi-disiplinari mengajar anak-anak kecil membina ketuhar yang dihasilkan daripada tanah.

Pangrok Sulap melalui projeknya “Dari Sekolah ke Masyarakat” pula menekankan aspek tanggungjawab yang mampu sahaja dipikul oleh anak-anak kecil untuk memperkasakan diri mereka, dan turut menolong masyarakat di keliling mereka melalui hasil karya D.I.Y (Do it Yourself) seperti seni cetak kayu dan sebagainya.

Antara yang lain juga adalah Pusat Sekitar Seni, melalui projek mereka yang bertajuk “”ASAS  – Anak-Anak Sihat Untuk Alam Sejahtera”, Akuma No Shirushi/Noriyuki Kugichi melalui projek “Carry In”, ArtSemble dengan “Tapi Project” dan juga Dr. Shureen Faris melalui “Therapeutic Garden”.

Pada waktu yang sama juga festival Gerakan Seni akan bekerjasama dengan pihak The Japan Foundation Kuala Lumpur, Serdang Gallery di University Putra Malaysia dan juga eDU-PARK Division, Putra Science Park, yang terletak UPM.

Beberapa pameran seni informatif bakal dilaksanakan, seperti pameran seni NYAWA dan juga Wall To Boom – Grafitti & Mural dengan matlamat bahawa seni juga tidak harus terasing dengan cabang sains dan mampu menjayakan suatu sudut pandang yang baru.

Gabungan diantara dua cabang ini juga harus dirapatkan semula, agar keseimbangan yang berlaku mampu menghasilkan sudut pandang yang lebih analitikal dan kreatif pada masa yang sama.

Disini perjalanan mereka untuk membentuk haluan seni yang baru dilihat sebagai salah satu usaha untuk memperkasakan semula masyarakat. Masyarakat harus melihat produk-produk budaya sebagai produk yang mampu menolong mereka meneruskan kehidupan dan bukan sebaliknya.

Produk seni jika ingin diikutkan konteks negara kita, harus mengenal pasti peranannya semula dan karya yang terhasil harus mampu menghasilkan impak yang mendorong mereka menjadi aktif.

About The Author
Profile photo of The Daily Seni
The Daily Seni
The Daily Seni delivers news on local arts and culture, aiming to provide insight into Malaysia's ever-growing creative community as well as provoke thought and discussion.

Leave a Response