Editorial
Now Reading
Esei: Bahasa Jiwa Seni Melayu
Next
Prev
464 1

Esei: Bahasa Jiwa Seni Melayu

by Pribade Abdullah BongkokJune 26, 2015

Rencana ini terhasil dari desakan pembacaan kitab ‘Melayu Hilang Di Dunia’, tulisan Khalid Salleh.

*          *          *

PERIBAHASA Melayu berkata, “Harapkan pagar, pagar makan padi.” Tahukah kalian bahawa ini adalah peribahasa Melayu yang salah? Terjemahan kepada tulisan rumi peribahasa ini diambil dari kitab-kitab tulisan jawi, dan ejaan jawi untuk perkataan ‘pagar’ ialah pa, ga, ro – tetapi bunyinya bukanlah pagar, sebaliknya p(é)gar: sejenis ayam – ayam pegar. Jadi, peribahasa sebenarnya berbunyi harapkan pegar, pegar makan padi.

Harapkan pegar, pegar makan padi.

Ayam pegar diperankan untuk menjaga padi daripada binatang-binatang perosak seperti burung dan tikus. Tetapi, ayam ini juga pemakan padi. Maksudnya: kita amanahkan seseorang (organisasi) itu untuk menjaga kepentingan umum, tetapi seseorang (organisasi) itu pula berkepentingan peribadi.

Hah, sungguh kelakar! Kita sudah ditipu oleh sistem pendidikan dan penjaga bahasa Melayu berdekad-dekad lamanya sehinggalah perkara ini dibongkarkan lima tahun yang lalu. Tetapi, siapa yang peduli akan nasib bahasa Melayu?

Jika kita cuba gambarkan peribahasa tersebut, tentu kelihatan sangat absurd dan surrealistic. Tidak pernah dibuat oleh mana-mana pesawah membina pagar di petak bendang. Jika padi itu dijemur atau disimpan di dalam kepok sekalipun, tidak pernah pula saya melihat atok dan opah membina sebaris pagar pun.

Mungkin juga pagar yang dimaksudkan ialah ‘pagar’ ghaib, yakni penjaga dari kalangan jin. Tetapi, jin pun tidak meminta padi sebagai upah, malah permintaannya lebih diva yakni pulut kuning, bertih, rokok daun, telur ayam dan syiling berjumlah suku (dua puluh lima sen).

Bangsa Melayu yang sangat terkenal dengan metafora, kiasan, simbol, tanda dan petanda ini tidak pernah memetik perkara ghaib untuk dijadikan peribahasa. Bangsa Melayu lazimnya memetik perkara yang zahir, yang nyata di mata untuk menggambarkan sesuatu yang batin, yang kasat mata. Begitu halusnya (seni) penelitian bangsa Melayu terhadap alam dan manusia.

Begitu juga dengan peribahasa ibarat melepas batok (tetapi kita menyebut ‘batuk’) di tangga. Tentu kalian bayangkan seseorang sedang mendaki tangga lalu melepaskan batuk – uhuk-uhuk! Peribahasa ini bermaksud: seseorang yang tidak cermat dalam kerjanya atau bekerja dengan lewa. Apa kena-mengena batuk di tangga dengan kerja yang tidak cermat? Jika seseorang itu mengidap batuk yang teruk, mana boleh ditahan batuk di tempat-tempat khusus!

Ibarat melepas batok di tangga.

Kita lahir di era moden: ibu-ibu yang mengandungkan kita dibekalkan oleh doktor dengan acid folic, lantai rumah di atas bumi, bermandikan air pancur, berkasut, tidak pernah menggali lubang di tanah untuk berak kemudian dikambus kembali; tentu kita tak pernah kenal apakah bendanya batok itu, apalagi ayam pegar.

Ibu bapa hari ini, baik di kota mahupun di kampung, lebih mementingkan soal akademik anak-anak di sekolah berbanding mendedahkan anak-anak akan pembelajaran dengan alam. Bahasa Inggeris didesak supaya menjadi ‘bahasa perut’. Komputer dan gajet-gajet disuapkan supaya anak-anak tidak keluar dari rumah untuk meneroka alam.

Maka akibatnya, anak-anak hari ini sudah tidak mengenal alam yang berkait rapat dengan bahasa dan budaya (merangkumi cara hidup dan sikap budi pekerti). Lantas, anak-anak hari ini sudah tidak kenal bangsanya sendiri iaitu MELAYU.

Peta Gugusan Kepulauan Melayu.

Sedih. Lebih menyedihkan apabila tiada siapa pun, baik di kalangan pemerintah, akademia, guru-guru apalagi individu yang peduli akan perihal ini. Bangsa Melayu akhirnya keliru dan menganggap tiada lagi Tanah Melayu apalagi ingin mengenali sejarah peradaban Gugusan Kepulauan Melayu.

*          *          *

Hubungkait bahasa dengan seni budaya Melayu

BUDAYA Melayu yang merangkumi cara hidup, adab, sikap dan pemikiran, segalanya dirangkumkan dalam konteks SENI: seni pertukangan, seni memasak, seni perkebunan, seni perubatan, seni pertahanan diri, seni perdagangan, malah seni bersenggama. Bagaimana kita sebagai Melayu hendak mengerti apakah yang dimaksudkan dengan seni jika tidak fasih dalam bahasa?

Abaikan dulu kesenian seperti tarian, lagu, ukiran dan wayang. Bagaimana kita mahu mengenal alam Melayu jika tidak mempelajarinya dari kitab-kitab karangan yang berbahasa Melayu? Senang cerita, jika kita hendak mempelajari Yoga, atau ingin mengetahui peradaban Eropah; bukankah kita perlu fasih bahasanya supaya apa yang belajar itu dapat dimengertikan.

Pada awal kurun ke-19, Inggeris mengesan bahawa kekuatan jatidiri Melayu terletak pada pembelajarannya dengan alam dan pusatnya ialah sekolah pondok yang diusahakan oleh mursyid-mursyid.

Inggeris tidak menafikan sama sekali bahawa konsep Plato dalam pendidikan: membiarkan anak-anak pada zaman kanak-kanaknya bermain dengan alam sepuas-puasnya (tetapi dengan pengawasan orang dewasa, bukan kawalan) dan ini terbukti dalam silibus pengajian bangsa Melayu. Sabit itu, Inggeris tidak teragak-agak menubuhkan sekolah-sekolah yang berpaksikan silibus Inggeris – sudah tentunya berbahasa Inggeris.

Kolej Melayu Kuala Kangsar.

Maka, dibinanya pula bangunan yang gah umpama istana di Kuala Kangsar dan diberi nama Malay College Kuala Kangsar bertujuan mengaburi minda Melayu yang selama ini berpusat pendidikan di sekolah pondok Gunong Semanggol. Sejak dari itu, bahasa Inggeris diangkat sebagai bahasa yang lebih bermartabat di Tanah Melayu jika mahukan kemajuan.

Kesannya pada hari ini, Inggeris berjaya melahirkan pemimpin Melayu yang korup, tiada berbudi bahasa apalagi pekerti terpuji. Kemudian, Inggeris juga berjaya membunuh sejarah peradaban Melayu termasuklah kesenian Melayu (paksinya bahasa Melayu) yang hari ini dijadikan oleh kerajaan dan NGO-NGOnya sebagai bahan pameran di ekspo-ekspo atau festival-festival. Walhal, kesenian Melayu suatu ketika dahulu adalah suatu kaedah pendidikan.

Apabila bahasa Melayu sudah semakin pupus dan digantikan dengan bahasa Inggeris, bangsa-bangsa lain yang datang dari benua lain lantas menjarah hasil bumi Melayu sudah tentunya akan mengambil kesempatan, termasuklah Melayu yang cuba memartabatkan pula bahasa Arab.

Ini belum lagi masuk bab kemerdekaan Tanah Melayu yang penuh muslihat oleh Inggeris. Bagaimana Inggeris menakluki bumi Amerika, begitulah juga diperlakukan pada Tanah Melayu. Peperangan Inggeris dengan penduduk asal Amerika dikatakan sebagai patriotik dan mereka wewenangnya menjarah dan jadikan bumi Amerika ikut suka hati mak bapak dia. Lihat, sejarah peradaban penduduk asal Amerika lenyap sama sekali dan Inggeris isytiharkan bahawa bumi Amerika sebagai milik semua bangsa.

Persoalannya, siapakah dan apakah peranan Inggeris di rantau Nusantara ini sebenarnya? Freemason, Zinois, Iluminati?

About The Author
Profile photo of Pribade Abdullah Bongkok
Pribade Abdullah Bongkok
hamba SENI yang suka sakat suku sakat. Mula jatuh cinta pada pentas sejak budak-budak, sejak mengenali pentas di Dewan Orang Ramai kampungnya, di mana pada bahagian atas tirai agungnya tertulis: 'Pribade'.
1 Comments
  • Khalid salleh
    May 18, 2016 at 6:30 pm

    Tulisan yang harus (wajib) dibaca dan ditelaah kembali oleh Melayu seluruhnya khususnya tokoh budayawan sasterawan akadamais yang selalu berasa dirinya unggul dan meminta sedikit perhatian dalam banyak hal sama ada secara langsung atau tidak langsung..

Leave a Response