Editorial
Now Reading
Dato’ Rahim Razali dan Fatimah Abu Bakar dalam Teater ‘Love Journey – A Nation of Two’
362 0

Dato’ Rahim Razali dan Fatimah Abu Bakar dalam Teater ‘Love Journey – A Nation of Two’

by Pribade Abdullah BongkokJuly 24, 2015

BERSEMPENA musim perayaan Hari Raya Aidilfitri, Jo Be Productions dengan bangganya membawa kepada khalayak sebuah teater dwi-bahasa (Inggeris-Melayu) berjudul Love Journey – A Nation of Two bakal dipersembahkan ke hadapan pencinta panggung pada esok malam di pentas Enfiniti Academy.

Naskah komedi tulisan bersama Joanna Bessey dan Na’a Murad ini membariskan pelakon-pelakon handalan tanahair, gabungan baharu dan lama iaitu Dato’ Rahim Razali, Fatimah Abu Bakar, Na’a Murad, Sharifah Sofia, Safia Hanifa, Tim Howe, Chacko Vadaketh, Bella Rahim, Alfred Loh, Anitha Hamid dan Qahar Aqilah.

Joanna Bessey

Diarahkan oleh Joanna Bessey sendiri, Love Journey – A Nation of Two mengangkat tema klasik drama Melayu yakni ‘Timur bertemu Barat’ – kisah Aisha, seorang gadis Melayu urban yang akan berkahwin dengan jejaka dari Amerika Syarikat tetapi terperangkap antara unsur tradisional dan moden.

Tema yang sama diangkat sebelumnya oleh Syed Alwi melalui Alang Rentak Seribu dan Salleh Ben Joned melalui Amok Wan Man, kali ini mari kita saksikan bagaimana Joanna Bessey memberikan kesimpulan pada pertembungan kepercayaan budaya Melayu turun-temurun dengan pendedahan gaya hidup baharu yang serba logik; merungkai kekeliruan fungsi agama khususnya Islam dan Kristian dalam menyatukan dua jiwa dalam CINTA.

Ayuh, beramai-ramai kita bilas ‘mabuk lemang’ dan ‘konflik Low Yat’ dengan datang menonton teater ini. Jika duit dah banyak habis demi persiapan Hari Raya tempoh hari, pakat dengan kawan-kawan kemudian bodek bos atau pensyarah supaya belanja satu rombongan. Paling tidak pun, pinjamlah duit raya anak.

Rahim Razali dan Na'a Murad

Rahim Razali dan Na’a Murad

Warga negara 'Cinta'

Warga negara ‘Cinta’

Disokong oleh Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN), bertempat di The Blackbox Theatre, Enfiniti Academy, Kota Damansara, teater ini mula menemui khalayak pada 25 Julai 2015 hingga 2 Ogos 2015. Tiket berharga RM40 (tempat duduk berkerusi) dan RM20 (tempat duduk atas lantai).

Sebarang pertanyaan, jangan malu dan segan untuk hubungi J. Redza di talian +6017 614 5379 / lovejourneytix@gmail.com. Pembelian tiket atas talian pula di eventbrite.com. Maklumat lanjut, jenguk-jenguklah facebook.com/LJNAT2.

About The Author
Profile photo of Pribade Abdullah Bongkok
Pribade Abdullah Bongkok
hamba SENI yang suka sakat suku sakat. Mula jatuh cinta pada pentas sejak budak-budak, sejak mengenali pentas di Dewan Orang Ramai kampungnya, di mana pada bahagian atas tirai agungnya tertulis: 'Pribade'.

Leave a Response