Editorial
Now Reading
Cakap Dapur
Next
Prev
36 0

Cakap Dapur

by Pribade Abdullah BongkokFebruary 6, 2015

SEKILAS dengar, tajuknya membayangkan cerita-cerita ‘orang dapur’ – mungkin kisah surirumah yang berbicara mengenai pelbagai topik; atau kisah seorang lelaki yang terpaksa menjadi surirumah sepenuh masa kerana dibuang kerja lalu membuat kerja sambilan seperti memulakan perniagaan online – hah, tak mungkin! Tak mungkin ini yang diketengahkan oleh Five Arts Centre (FAC) – memandangkan dasar ahli-ahli FAC rata-ratanya adalah golongan seniman intelek.

Kesilapan andaian ku ternyata sahih. Cakap Dapur: R&D Stories memang cerita lain dan kita telah dimanipulasikan dengan tajuknya yang catchy. Istilah ‘cakap dapur’ adalah istilah yang dipinjamkan dari negara Indonesia. Dapur yang dimaksudkan ialah makmal atau studio. Ya, seperti salah satu baris lirik lagu Tegar, penyanyi cilik Indonesia – “masuk dapur rakaman” (masuk studio rakaman). Di dapur ini tempat karyawan jamming!

Di Indonesia, ‘cakap dapur’ bermakna debat dan hujah – sepertimana lazimnya berlaku sebaik saja selesai sesebuah persembahan, di mana penonton atau pengkritik akan mengajukan pertanyaan serta pertikaian kepada pengarang, sutradara, pereka dan pemain. Kadang-kadang pertanyaan dan pertikaian itu bersifat sangat provokatif. Sesiapa yang jiwanya tidak kental, barangkali itulah karya terakhirnya. Maka jawapan yang diberikan mestilah bersifat kukuh, relevan, berasas dan pemati soalan.

Perlu di-ingatkan, karyawan Indonesia pemikirannya benar-benar kritis! Karyawan mestilah berpengetahuan dalam pelbagai jurusan. Bukan saja fasih dalam ilmu kesenian bahkan ilmu-ilmu lain seperti politik, theologi dan metafizik contohnya. Dengar khabarnya, wakil negara kita yang berani bawa persembahan tempatan ke Indonesia dan berjaya mengharungi proses di atas hanyalah Wak Khalid dengan karyanya Jual Ubat.

Kita, di sini tidak ada budaya demikian. Penonton datang, menonton, keluar dan pulang. Paling tidak, kenalan-kenalan terdekat sutradara, pengarang dan pemain akan berbual di mamak. Mungkin boleh dicadangkan istilah baharu – ‘cakap mamak’. Lebih tenat lagi jika sessi ‘cakap dapur’ itu berlaku di rumah dan di bawah pengaruh ganja. Maka bolehlah diistilahkan sebagai ‘cakap bong’ (‘bong’ adalah dapur buatan sendiri untuk menghisap
ganja).

Maka itu, Cakap Dapur: R&D Stories adalah sebuah syarahan dengan 25 modul, mengajar kita (terutama pengarang) supaya berfikiran kreatif dan kritis dalam penulisan – bagaimana mencipta watak, latar, plot mahupun tajuk untuk sesebuah pementasan! Sambil menyelam minum air, pementasan ini juga mengajar penonton supaya lebih bijak dalam menilai sesebuah karya, termasuklah bijak menilai drama TV – yang dikatakan sebagai pembunuh seni persembahan.

Oleh demikian, kisah-kisah yang disampaikan juga bersifat provokatif (dari kisah pondan tahun 70-an di karpet hijau, kisah 13 Mei, toleransi agama, antara teori dan ritual, mistik, iluminati sehinggalah kisah hukum haram ke atas kesenian oleh ulamak) bertujuan ‘memicit perasaan’ penonton supaya di akhir persembahan akan tercetusnya ‘cakap dapur’ seperti yang dimaksudkan.

Secara peribadi, kisah-kisah yang disampaikan hanyalah suara salah seorang warga Malaysia / ‘Melayu Intelek’ yang keliru. Keliru dengan sejarah asal-usul; sejarah negara, sejarah bangsa, sejarah budaya, sejarah agama, sejarah jatidiri dan sejarah seksualiti. Sejarah yang tersurat, tersirat dan yang tersorok.

‘Cakap Dapur: R&D Stories’ dipentaskan oleh Five Arts Centre, sebuah naskah Leow Puay Tin (adaptasi dari bengkel oleh Profesor Mohd. Anis Md. Nor), arahan & lakonan Chee Sek Thim; di Black Box Damansara Performing Arts Centre (DPAC), pada tarikh 5 – 7 Februari 2015, jam 8.30 malam dan pada 8 Februari 2015, jam 3.00 petang. Tiket berharga RM30, boleh didapati di www.dpac.com.my atau hubungi , .

Persembahan di dalam bahasa Inggeris dan Melayu. Tiada sarikata.

About The Author
Profile photo of Pribade Abdullah Bongkok
Pribade Abdullah Bongkok
hamba SENI yang suka sakat suku sakat. Mula jatuh cinta pada pentas sejak budak-budak, sejak mengenali pentas di Dewan Orang Ramai kampungnya, di mana pada bahagian atas tirai agungnya tertulis: 'Pribade'.
Comments

    Leave a Response