Editorial
Now Reading
Bangsa Membaca
1665 1

Bangsa Membaca

by Nazir HarithFebruary 21, 2017

Selalu saya ditanyakan dengan satu soalan yang saya fikir ironik. Kerana selalunya mereka yang menanyakan soalan ini sudah pun menjawabnya secara tak langsung – dengan membeli buku dengan saya – tanpa perlu saya membuka mulut. Jawapan saya sentiasa sama, ianya sangkaan dan kita tidak sebenar punya pilihan membeli buku.

Persoalan ini sudah menjadi seperti suatu kemestian dalam setiap benak fikiran mereka – dan saya sebelum ini.

Tidak pasti samada persoalan ini dilontarkan hanya untuk membuktikan kebenaran optimis – jawapan yang mereka sudah punya ataupun sekadar mahu berkongsi pesimis dan mengangkat diri mereka sebagai sekolompok manusia yang masih berbudayakan membaca dan mahu kekal sekelompok, kedua-duanya sudah terkandung dalam jawapan yang mereka sudah punya.

Apa yang mereka nantikan cuma jawapan daripada saya.

“Ada ke orang yang beli buku ni? Orang membaca ke di Malaysia ni?”

Melalui jalan kampung yang dikiri dan kanan, terbentang bendang hijau, saya teruja untuk bertemu dengan seorang pak cik yang baru saya kenal tidak sampai dua bulan. Di sini capaian line telefon bimbit cuma EDGE. Pelik kerana nak dikatakan pedalaman, tidak juga. Cuma sebuah kampung biasa di Kuala Kangsar.

Saya mengenali pak cik ini melalui suatu pameran yang saya anjurkan di Rumah Khizanat beberapa bulan yang lalu. Pameran ini berlegar sekitar buku-buku lama dalam sejarah penerbitan tanah Melayu. Skalanya kecil. Dan isi kandungan pameran cuma sekadar ‘overview’ sahaja. Dengan menaiki motosikal, seorang pak cik yang berusia dalam lingkungan 50 tahun datang memperkenalkan diri. Rupanya kami telah bersahabat di Facebook tetapi tidak pernah langsung bersua muka.

Pameran buku lama

Katanya, dia datang mahu melihat pameran dan juga berkongsi mempertontonkan buku-buku nya. Dia membawa keluar tiga buku. Penulis terkenal. Dua daripada buku itu tulisan seorang penulis yang selalu diangkat untuk membawa obor penulis nusantara ke pentas Nobel, Pramoedya Ananta Toer. Keduanya buku terbitan awal dan sangat cantik rupanya. Satu lagi buku daripada tokoh persuratan melayu moden, Pendita Za’ba. Buku ‘Asohan Budi’ telah saya saksi buat pertama kali; kewujudannya pada saya sebelum ini cuma dengar-dengar cerita. Daripada buku-buku yang dikongsi sewaktu pameran itu saya jangkakan yang pak cik ini seorang pembaca dan setelah beberapa minggu kenal dia menjemput datang ke rumahnya di sebuah kampung di Kuala Kangsar.

Melangkah sahaja ke ruang tamu rumah itu, kami disambut oleh ratusan buku yang tersusun elok di rak-rak memenuhi dinding ruang itu. Judul buku yang ada mencapah pelbagai, daripada sastera ke pengajian agama ke buku-buku umum dan lain-lain.

“Dulu ada sebuah kedai buku di pekan Kuala Kangsar tapi sekarang dah tutup. Di situ pak cik selalu beli buku-buku. Yelah duduk di kampung ini apa yang kita boleh buat untuk hilangkan bosan selain membaca.”

Sebenarnya orang sekarang yang membaca dalam erti kata membaca secara umum lebih banyak daripada generasi sebelumnya. Persoalan “adakah ada yang membaca lagi di Malaysia ini?” adalah satu persoalan yang dangkal. Yang patut ditanyakan ialah apakah sebenarnya bahan pembacaan masyarakat sekarang?

—————————————————————————————————————————————–

Buku adalah satu objek ciptaan manusia yang teragung dalam sejarah. Keberadaannya dalam masyarakat kita di Malaysia sebenarnya secara relatif masih baru. Sejarah kita panjang tapi sebenarnya kita adalah bangsa pertuturan. Buku tiba di pesisir pantai kita sekitar kurun ke-18 dan percetakan massa mula mengembeleng tenaga menerbitkan dan menyebarkannya sekitar awal 1900an. Namun belum sempat ianya mengakar ia terpaksa bergelut dengan medium baru yang ternyata lebih efisyen dan mudah untuk menyampaikan maklumat – radio dan televisyen. Beberapa dekad selepas itu capaian internet datang dan menyerap segalanya.

Jadi tidak adil untuk kita membandingkan tradisi kita dengan apa yang telah berlaku di Eropah yang punya sejarah yang lebih panjang dalam percetakkan, penerbitan dan selanjutnya pembacaan.

Di sini kita perlukan satu ekosistem yang mapan dalam menyemarakkan dan membudayakan pembacaan buku. Tidak dinafikan tekanan hidup ekonomi memainkan peranan yang besar ke atas pengurusan keutamaan. Antara hidangan makanan buat alas perut dan buku, semestinya kelestarian jasmani perlu diutamakan. Di sini tugas pemain industri perbukuan menjadi lagi sukar.

—————————————————————————————————————————————–

“Jangan terkejut kadang-kadang orang di kampung ni pembacaan mereka lagi sofistikated daripada yang duduk di bandar sana.”

Pernyataan pak cik ini membuat aku termenung sejenak.

Perpustakaan peribadi

Buat sesebuah kawasan, ada dua entiti penting untuk menampung dan mencorakkan budaya ini – perpustakaan dan kedai buku. Perpustakaan, seperti yang kita sedia maklum, berada di bawah kawalan kerajaan negeri jadi di sini kerjasama dengan mereka amatlah penting untuk menjadikan perpusatakaan sebagai hub buku yang akhirnya akan bertukar menjadi hub intelektual dan budaya. Perpustakaan perlu pro-aktif dalam membuka pintu mereka seluas-luas kepada masyarakat setempat. Apalah perpustakaan tanpa buku. Itulah raison d’etre keberadaan sebuah perpustakaan.

Dalam saya meninjau beberapa perpusatakaan di sekitar bandar-bandar utama dan desa, saya mendepati koleksi buku bacaannya sangat lah usang dan tak terurus. Sukar untuk mendapatkan buku bagus. Ini sepatutnya menjadi tugas perpustakaan sebagai pengantara ilmu. Dengan infrasturktur yang gah dan besar, tiada usaha dalam memaksimakan penggunaan.

Kalau dulu sewaktu awal ledakan teknologi maklumat, kita dapat lihat trend perpustakaan ‘menjual’ capaian internet percuma untuk menggalakkan pengunjung datang. Namun dengan capaian internet yang sudah semakin meluas dan mudah, apa lagi yang ada pada perpustakaan selain untuk kembali fokus kepada isi sebenarnya iaitu buku.

Ada satu lagi entiti yang saya percaya kepentingan dan peranannya dalam kawasan setempat. Jika kita amati penilaian majalah Monocle dalam menilai kelestarian sesebuah bandar kita dapati salah satu kriteria yang perlu ada ialah jumlah kedai buku dalam sekian km persegi.

Kedai buku yang saya maksudkan ini bukan kedai buku yang wujudnya hanya menjual alat tulis dan buku teks sekolah, tetapi menjual buku-buku bacaan yang boleh terdiri daripada pelbagai jenis.

Pentingnya kedai buku, selain dari mengimbangi sumbangan perpustakaan, adalah melengkapi perpustakaan. Bilangan kedai buku yang bertambah dalam sesebuah kawasan secara langsung menandakan peningkatan pemikiran – kawasan tersebut disajikan pelbagai jenis buku yang memanifestasikan pelbagai idea yang bersaing sihat dalam minda masyarakat setempat. Dari sini bibit-bibit bicara akan lahir, meluhurkan idea-idea dan ilham-ilham baru.

Cabaran kedai buku adalah persaingan dengan jualan atas talian yang sentiasa akan memberikan harga yang lebih murah. Di sini perlu dipupuk kesedaran yang kedai buku bukan hanya sebuah kedai yang menjual buku, namun sebuah ruang. Ianya sebuah ruang persendirian yang diawamkan menjadi sebuah hub budaya tempat manusia bertemu dimana idea dan tindakan dapat disulam kemas. Sisi-sisi ini tidak ada pada jualan atas talian.

Dan sisi ini yang penting untuk perkembangan masyarakat setempat yang akhirnya nanti akan melahirkan dan membentuk suatu masyarakat yang berfikir.

—————————————————————————————————————————————–

“Pak cik tak terkilan pun. Sebab membaca dah jadi macam second nature. Tak boleh sehari tak baca.”

Di sebelah rumah pak cik ini ada sebuah sungai yang mengalir. Bunyi kocak airnya mendamaikan. Tak dinafikan susana kampung memang sangat kondusif untuk membaca.

Memikirkan orang-orang seperti pak cik ini, ternyata usaha yang menyeluruh perlu di lakukan untuk mencipta suasana di mana orang boleh mendapatkan buku bacaan yang bagus dengan mudah dan punya ruang awam di mana mereka-mereka ini dapat bertemu dan bersembang, bertukar-tukar pandangan dan judul buku yang mereka fikir menarik.

“Orang selalu ingat yang kita-kita yang duduk di kampung ni tak baca buku.”
Tanpa beliau sedari, pak cik ini telahpun tiba di jawapan soalannya sendiri.

About The Author
Profile photo of Nazir Harith
Nazir Harith
1 Comments

Leave a Response