Editorial
Now Reading
Atas Nama Keselesaan Berteman, Seni Itu Hidup Dan Terus Berlangsung
210 0

Atas Nama Keselesaan Berteman, Seni Itu Hidup Dan Terus Berlangsung

by Anak DagangAugust 9, 2015

JIKA kita ingin meyakinkan diri bahawa sesuatu seni wujud atas nama seni itu sendiri, maka kita akan menemui jalan yang buntu. Jika kita berniat murni merasakan bahawa seni itu mampu menyelamatkan diri seseorang, maka apa yang terhasil adalah suatu imposisi mutlak terhadap fungsi masyarakat yang melahirkan seni itu sendiri.

Jika kita mengharapkan bahawa seni itu mampu mengubah sesuatu benda pula, lalu kita akan melakukan kesilapan dan lupa akan peranan pelaku itu sendiri. Kita pasti lupa akan keberadaan dan kewujudan masyarakat dan individu yang menghidupkan nilai seni itu sendiri.

Jadi kepada kita semua yang ingin menghidupkan semula asas seni itu, mengharapkan bahawa ianya mampu terus menerus memberi nafas baru kepada pengkarya dan kehidupan di sekelilingnya. Kita harus mengakui dan mengenal pasti batas yang ada pada penggunaan seni itu sendiri, seni yang ada haruslah dijadikan sebagai bimbingan kepada para penggerak yang menjiwainya.

11831735_490239497801733_1767644101458045542_n

Itulah barangkali apa yang ingin dilakukan oleh aktiviti Gerakan Seni yang dilaksanakan oleh Balai Seni Visual Negara. Komitmen untuk menjayakan aktiviti seni alternatif, iaitu seni yang berteraskan konsep komuniti itu merupakan sesuatu yang jarang benar dilakukan di sini. Mungkin juga sudah banyak aktiviti seni yang dilakukan, tetapi jarang benar yang menekankan aspek yang jelas terlihat sewaktu aktiviti sebegitu berlangsung di dalam ruang pendidikan kita.

Susah untuk disangkal bahawa apa yang menggerakkan oleh mereka adalah dorongan yang aktif oleh teman-teman mereka. Mereka yang mendahagakan semangat juang diantara kawan mulai mencari ruang ataupun masa untuk menghabiskan masa mereka sesama sendiri. Lalu apabila projek seperti ini berlaku, maka mereka dengan cepat turut bersedia untuk menyumbang sekali tenaga mereka.

Projek seni seperti ini berjaya menguatkan lagi konsep pendidikan yang tidak formal, apa yang diharapkan oleh penggerak aktiviti ini adalah harapan bahawa seni yang dilaksanakan seperti ini mampu sedikit sebanyak membantu mereka bagi memulakan kehidupan yang sedikit sebanyak berbeza daripada templat kehidupan yang telah sedia ada. Ia juga menjanakan harapan agar projek yang disertai oleh mereka ini mampu mencetuskan dan membentuk kerangka pemikiran yang unik dan sedikit berlainan daripada apa yang sepatutnya.

11224514_490238621135154_5904257585806806243_n

Sewaktu saya melawat para pelajar dan para penggiat seni yang sedang sibuk bersiap sedia untuk menjayakan program ini, apa yang jelas berlaku adalah suatu kerjasama yang benar-benar memberansangkan. Ia tidak lagi bersandarkan kerangka pesuruh dan pelaku suruhan, sebaliknya mereka dengan tekun menyiapkan segala kerja dan sekali lagi, apa yang benar-benar menggerakkan mereka adalah semangat setiakawan yang tidak terpisahkan daripada nostalgia sewaktu bersekolah.

Romantisisme keabadian saat persekolahan itulah barangkali apa yang sebenar-benarnya diinginkan oleh mereka. Rasa keselesaan berteman itu, didorong lagi ke arah aktiviti yang berteraskan konsep komuniti dan pemberdayaan seni sebagai salah satu aktiviti utama, berjaya membuahkan hasil yang positif.

11846671_488855061273510_884967759311343918_n

Peluang seperti inilah yang jarang diberikan kepada kita sewaktu kita kecil. Ia berhenti di tahap sekolah rendah kemudian paradigma pendidikan beralih fokus kepada kemajuan akademik semata-mata dan tidak lagi mengambil kira kepentingan kooperatif dan semangat setiakawan untuk menjayakan sesuatu program.

Malang sekali bagi kita semua, aktiviti seperti ini tidak lagi dilihat sebagai sesuatu yang mampu membuahkan hasil yang positif. Sebaliknya sejak dari kecil kita disumbat dengan paksaan bahawa dari sudut akademiklah nilai keberadaan kita terletak sebagai kayu ukur utama.

Gerakan seperti ini sedikit sebanyak menunjukkan bahawa pendidikan tidak lagi perlu menumpu sepenuhnya kepada teori semata-mata. Sebaliknya memberi mereka peluang untuk menggunakan tenaga mereka kepada sesuatu yang lebih bagus dan produktif.

Seni sebagai sarana imaginasi yang lebih utuh patut disalurkan kepada anak-anak muda agar mereka melihatnya sebagai sesuatu yang benar-benar berguna untuk kegunaan mereka kelak. Mereka harus diberi keyakinan akan keberkesanan aktiviti seni ataupun pemberdayaan budaya sebagai salah satu cara untuk mengukuhkan lagi semangat setiakawan.

Anak-anak muda harus percaya bahawa aktiviti seni yang terjana turut mengambil kira aspek kesunyian yang bakal melanda apabila ditekankan hanyalah suatu proses untuk menjadi seseorang yang sukses itu diukur berdasarkan persaingan individu.

Maka setiap aktiviti yang bakal berlaku di sekolah, tidak lagi mengutamakan aspek keutamaan aktiviti dan keberkesanannya tetapi sebaliknya menekankan aspek yang jelas berlangsung sewaktu zaman persekolahan: semangat setiakawan yang tidak akan pernah pudar.

About The Author
Profile photo of Anak Dagang
Anak Dagang
Anak Dagang seorang warga kota Kuala Lumpur yang ingin terus menulis. Anak Dagang is a senior contributor to The Daily Seni.

Leave a Response