Other
Now Reading
Bila Puisi Menjadi Visual – Melukis Puisi: Sebuah Pencitraan Puisi-Puisi Pyan Habib @ HOM Art Trans
Next
Prev
193 0

Bila Puisi Menjadi Visual – Melukis Puisi: Sebuah Pencitraan Puisi-Puisi Pyan Habib @ HOM Art Trans

by The Daily SeniMay 15, 2015

Barangkali itu yang harus sentiasa dilakukan. Usaha untuk mencitrakan susunan ataupun struktural kata-kata agar diberi nafas yang baru; dengan izin ataupun pengiktirafan oleh si penyair itu sendiri menjadi suatu gambaran visual – dua dan juga tiga dimensi.

Sempena sambutan kelahiran penyair dan penulis kontemporari Saudara Pyanhabib, HOM Art Trans bakal mengadakan pameran seni visual sebagai tanda penghormatan kepada sumbangan beliau di dalam arena sastera negara. Tiga puluh artis kontemporari Malaysia diberi ruang untuk melakukan karya berdasarkan pembacaan, tafsiran dan reaksi terhadap puisi-puisi yang telah dipilih daripada buku puisi penulisan Pyanhabib yang bertajuk ‘Balada Pyanhabib’.

Buku tersebut telah diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) pada tahun 2012. Projek yang mengutamakan rentasan bidang diantara dua medium ini dilihat sebagai sesuatu yang benar-benar unik; dimana kesemua para seniman turut menyumbang tenaga dan juga penat lelah untuk menyelami nilai-nilai universal dapat dikongsi dan dinyatakan semula kepada khalayak ramai.

Selalu sahaja setiap puisi yang terlahir bakal dianalisis ataupun dikritik semula oleh pengkritik sastera, tetapi jarang benar usaha ataupun projek seperti ini dilakukan secara beramai-ramai apatah lagi memuatkan 30 artis seni visual.

Penghormatan seperti ini adalah sesuatu yang jarang benar disebutkan, dimana setiap seniman bersetuju untuk memberi penilaian semula dan pemberian nafas baru ini pastinya akan merancakkan lagi dan meneruskan nilai-nilai yang telah wujud dan mengalir melalui puisi saudara Pyan Habib.

Pelancaran ini akan dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ITBM, Encik Mohd Khair Ngadiron. Selitan persembahan akan diadakan di antara ucapan-ucapan pada pembukaan majlis oleh Hasnul Rahmat, pelakon yang pernah merangkul beberapa anugerah dan juga seorang pemuisi bersama Hakim atau lebih dikenali sebagai Awang Kentut, di mana mereka bakal menyampaikan puisi secara berdialog.

Rahmat Haron, seorang aktivis juga seorang pemuisi turut membuat persembahan. Selain daripada itu, sesiapa yang berminat juga dijemput untuk membuat persembahan ketika sesi persembahan terbuka pada malam tersebut.

“Projek ini merupakan projek istimewa bagi HOM pada tahun ini. Tujuan utama majlis ini diadakan adalah untuk meraikan seni dan sebagai salah satu projek merentas bidang antara artis visual dan artis sastera,” ujar Bayu Utomo Radjikin, pengarah HOM yang pulang ke tanah air dari Australia bagi meraikan majlis ini bersama-sama.

Artis-artis yang dipilih untuk pameran istimewa ini adalah antara yang terbaik dan terkenal dalam arena seni kontemporari. Antaranya adalah Jalaini Abu Hassan, pelukis senior kontemporari dan merupakan seorang pendidik serta salah seorang rakan kepada Pyan dan ahli Anak Alam, diikuti dengan veteran artis skulptur kontemporari dan pendididik, Aznan Omar yang kebanyakan hasil kerjanya adalah melalui pemerhatian dan simbolism berdasarkan pepatah Melayu.

Peserta lain yang perlu juga diberi perhatian termasuk artis berpelajaran kendiri, Adeputra Masri yang dikenali dengan lukisan media campuran berkaitan perihal sosio-politik dan sosio-budaya manakala Latiff Maulan, salah seorang pelukis figura yang berkemahiran tinggi dalam genre photo-realist yang menggunakan metafora dan komposisi yang sukar membezakannya dengan seniman berpendidikan. Samsuddin Wahab atau Buden merupakan salah seorang seniman muda yang terkenal dengan penggunaan unsur satira dalam karya catan, cetakan dan arca yang menggambarkan sosio-politik tempatan, juga merupakan salah seorang seniman dalam pameran ini.

Katalog pameran ini juga akan dimuatkan dengan puisi terbaru daripada Pyanhabib sendiri. MENULIS PUISI: Sebuah Pencitraan Puisi-Puisi Pyanhabib adalah siri pertama pameran anjuran HOM Art Trans sebagai salah satu projek untuk menghasilkan suatu persembahan visual daripada puisi-puisi pilihan sastera terpilih oleh pemuisi dan penulis terkenal. Pembukaan pameran ini akan diadakan pada 27 Mei 2015 di Whitebox @ Publika sehingga 3 Jun 2015. Untuk maklumat lanjut boleh digapai di www.homarttrans.com.

About The Author
Profile photo of The Daily Seni
The Daily Seni
The Daily Seni delivers news on local arts and culture, aiming to provide insight into Malaysia's ever-growing creative community as well as provoke thought and discussion.
Comments

    Leave a Response