Film & TV
Now Reading
Antara bahasa dan pasaran filem: Wajarkah pencalonan FFM tahun ini?
olabola
812 0

Antara bahasa dan pasaran filem: Wajarkah pencalonan FFM tahun ini?

by Nik Jassmin HewAugust 8, 2016

SAYA melakarkan pendapat ini di meja tulis saya yang dihiasi dengan tiga prototaip trofi anugerah Festival Filem Malaysia (FFM) pertama yang telah direka dan diusahakan oleh Cik Normah Nordin pada 1980. Rekaannya berbeza dari rekaan trofi anugerah FFM terkini. Trofi ini berbentuk prisma, di dalamnya kelihatan ‘Gunung’ wayang kulit melambangkan seni dan budaya yang dapat dilihat dari setiap sudut prisma segitiga itu.Inline image 1

Saya pernah bertanya kepada perekanya, mengapa prisma? Mengapa ada tiga sudut? Dan jawapan beliau adalah, kerana industri filem melibatkan tiga perkara yang mempunyai kepentingan yang sama rata iaitu produksi, pemasaran dan pengedaran dan Festival Filem menyokong itu.

Saya mempunyai persoalan tentang kategori yang diputuskan pihak Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM). Adakah ia menitik beratkan tujuan sebenar FFM diadakan? Adakah ia mendorong produksi, pemasaran dan pengedaran filem-filem Malaysia? Apakah maksud filem Malaysia? Apakah yang PFM faham tentang filem?

Banyak perkembangan dapat dilihat dalam industri filem Malaysia pada kebelakangan ini.

Industri ini telah mula diwarnai dengan kepelbagaian yang pada pendapat ramai adalah sangat baik. Bukan sahaja ia menggalakkan persaingan yang boleh mendorong peningkatan kualiti, malah kepelbagaian dalam cerita masyarakat pelbagai bangsa mencerminkan keunikkan yang ada pada Malaysia — iaitu kehidupan masyarakat majmuk Malaysia yang luarbiasa.

Antara bahasa dan pasaran filem

Ramai rakan-rakan industri yang kurang senang dengan keputusan yang diambil pihak PFM ini. Ia dilihat sebagai satu diskriminasi dan sebagai satu sistem yang hanya mahu melindungi filem-filem Bahasa Melayu atau sekaligus cerita-cerita masyarakat Melayu.

Menurut laporan, PFM mengatakan ia bukan mendiskriminasi, PFM mahu memartabatkan Bahasa Melayu iaitu Bahasa Kebangsaan kita. Mungkin juga PFM mahu menggalakkan cerita-cerita bukan berbahasa Melayu untuk menerapkan penggunaan Bahasa Melayu lebih sedikit atau mahu membentuk filem Malaysia menurut pandangan mereka, atau memuaskan hati sesetengah pihak. Saya percaya langkah ini diambil dengan niat murni, akan tetapi persoalan utama di sini adalah adakah tindakan yang diambil ini sesuai dan yang terbaik untuk industri filem Malaysia?

Tidak dinafikan bahasa kebangsaan patut diperkasakan. Malah filem-filem tempatan yang berbahasa Melayu boleh menggunakan filem mereka untuk bantu memulihkan bahasa kebangsaan. Tetapi tugas memartabatkan sesuatu bahasa itu bukanlah matlamat sebenar sesebuah karya filem. Ia juga tidak menentukan kualiti sesebuah filem.

Pada saya filem-filem Malaysia kini sama seperti lagu-lagu terbitan Malaysia — kaya dan memang berkategori, dan bahasalah yang paling tepat untuk membezakan mereka. Ramai yang mungkin tidak bersetuju tetapi inilah realiti kebiasaan di Malaysia hari ini. Mungkin pada masa dulu kita mempunyai pasaran Malaysia kerana tidak kira bahasa, semua bangsa menonton filem-filem yang sama. Disebabkan itu semua orang tidak kira bangsa mengenali “Mr Os”.

Bahasa menentukan pasaran sesuatu penerbitan filem di zaman ini kerana medium filem tidak lagi hanya digunakan oleh golongan yang memfilemkan kisah masyarakat Melayu.

Pencalonan berdasarkan pasaran

Setiap pasaran yang ada adalah penting dan unik. Cara pemasaran dan pengedaran juga berbeza untuk setiap pasaran yang ada. Dengan itu, lebih sesuai jika PFM mengategorikan filem-filem kita mengikut pasaran mereka. Dengan mengadakan kategori mengikut pasaran juga, filem-filem bermutu Malaysia yang kurang mendapat perhatian tidak kira yang berbahasa Melayu atau bukan Melayu juga dapat diketengahkan.

Contohnya jika tiada kategori pasaran, orang ramai mungkin tidak tahu akan kewujudan, atau tidak dapat meraikan filem-filem di setiap pasaran selain yang ‘meletup’ walaupun sebenarnya filem-filem yang lain juga berkualiti. Cara ini akan menjadikan FFM bukan sahaja satu pentas untuk meraikan filem-filem yang memang sudah banyak mendapat perhatian, tapi semua filem-filem yang layak mendapat perhatian.

Mungkin apa yang boleh dilakukan adalah mengadakan tiga kategori — Pasaran filem Melayu, Pasaran filem Cina dan Pasaran filem Tamil — dan yang terbaik dari setiap kategori ini patut dan harus dicalonkan (tidak mengikut kuota) untuk filem terbaik FFM supaya kita tahu filem siapa dan filem apa yang benar-benar terbaik.

Dengan mengambil langkah ini, FFM mungkin dapat melonjakkan sistem anugerah industri hiburan tempatan ke tahap yang lebih berkesan. Sistem ini pernah diteliti oleh Anugerah Industri Muzik (AIM) yang pernah mengategorikan pencalonan mengikut pasaran — namun AIM mengasingkan setiap pasaran dan tidak menyatukan pasaran di satu pentas yang sama.

Menuju pasaran yang benar-benar Malaysia

PFM, jika memilih pengategorian sebegini, dapat memberi FFM makna baru dengan mempamerkan kesemua pencalonan dari setiap pasaran di satu pentas yang sama untuk para penonton (konsumer) dari setiap pasaran yang ada. Sekaligus menyatukan dan mengeratkan perhubungan rakyat dan kembali menuju ke arah satu pasaran Malaysia.

Namun untuk mengategorikan mengikut pasaran juga bukan perkara yang mudah. Kita juga pernah punya filem untuk pasaran Sarawak.

Apa pula akan terjadi jika pasaran baru muncul kelak memandangkan kepelbagaian kita di Malaysia, atau mungkin juga ada filem-filem yang pasarannya kabur seperti filem Ola Bola dan Jagat? Kedua-dua filem ini telah mendapat sambutan luarbiasa bukan sahaja di pasaran filem Cina atau filem Tamil tempatan. Kedua-duanya telah membawa rakyat Malaysia pelbagai bahasa dan kaum ke panggung yang sama untuk menonton filem yang bukan filem Hollywood.

Perkara yang menjadikan langkah pengategorian FFM28 tidak adil adalah penafian filem-filem bukan Bahasa Melayu untuk mendapat pengiktirafan sebagai filem Malaysia.

Ia membingungkan. Filem-filem tersebut diterbitkan di Malaysia oleh rakyat Malaysia dan apabila dibawa ke luar negara juga mewakili Malaysia. Usahanya juga digalakkan dan disokong oleh FINAS iaitu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional ‘Malaysia’.

Filem-filem ini juga telah membawa satu perkembangan yang menarik iaitu kemungkinan pembentukkan satu pasaran filem baru iaitu pasaran filem yang benar-benar Malaysia. Bukankah ini yang kita mahu? Bukan hanya pada rakyat yang cintakan penyatuan, tapi pada para penerbit yang memerlukan pasaran yang lebih luas.

Dengan itu, isu ini tidak boleh dipandang remeh. Ia bukan sekadar mengenai pencalonan FFM tahun ini. Festival Filem Malaysia seharusnya meraikan semua karya filem Malaysia yang bermutu. Bukan sahaja yang berbahasa kebangsaan ataupun yang popular.

Saya sangat berharap semua pihak dapat menilai semula perkara ini dengan adil dan bijaksana. Saya percaya FFM bukan sekadar satu platform untuk penganugerahan yang tak seberapa bermakna.

About The Author
Profile photo of Nik Jassmin Hew
Nik Jassmin Hew
Nik Jassmin Hew is a freelance researcher and screenwriter who has been active since 2005. She has written TV Magazines, documentaries, telemovies, drama series and museum displays, and was also former Screenwriting Lecturer at Sunway University. She runs MORO Records and MORO Music Publishing, an independent record label and a music publishing company respectively.

Leave a Response