Film & TV
Now Reading
3 SEBAB KENAPA ANDA HARUS TENGOK ‘DORM MELATI’
Next
Prev
2177 0

3 SEBAB KENAPA ANDA HARUS TENGOK ‘DORM MELATI’

by Zim AhmadiJanuary 15, 2017

Pada Selasa yang lepas (10 Januari 2017), pihak Daily Seni telah dijemput untuk tayangan perdana filem Dorm Melati, terbitan Metrowealth (penerbitnya Mejar (K) David Teo) yang ke-116. Majlis tayangan perdana tersebut dihadiri Senator Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Tun Said Keruak, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Terdapat juga persembahan muzik sebelum semua jemputan masuk ke panggung, terutamanya lagu klasik Nona Nona Zaman Sekarang –  lagu yang diketengahkan sebab peranannya dalam plot Dorm Melati itu sendiri. Filem Dorm Melati dikategorikan dalam genre seram; pengarahnya pula ialah Eyra Rahman. Dia juga telah mengarah filem seram yang lain seperti Pengantin Malam yang keluar pada tahun 2014.

Dorm Melati menceritakan tentang 5 sahabat baik, Adam (Aedy Ashraf), Zafira, (Nadia Aqilah), Eddy (Aizat Hassan), Raihana (Ardell Aryana) dan Carol (Syaa Nasir) yang telah memutuskan untuk melakukan aktiviti “summer camp” selepas peperiksaan STPM mereka. Bagi puaskan kehendak “extreme” Adam yang minat cabaran dan perkara-perkara menggerunkan, mereka telah setuju untuk melawat sebuah tempat yang dikhabarkan berhantu di Internet.

1) Filem ini berdasarkan kisah benar

Banyak sahaja filem-filem, terutamanya dalam genre seram, yang suka mempromosikan filem mereka dengan menggunakan ayat “berdasarkan kisah benar”, tetapi cerita Dorm Melati tidak menggunakan ayat itu dengan semberono. Kisah Dorm Melati pernah terjadi di sebuah pusat pengajian tinggi di sebuah negeri (anda akan mendapat banyak keputusan di Google mengenainya).

2) Barisan Bakat-Bakat Muda

Cast of Dorm Melati

Dorm Melati membariskan bakat-bakat muda yang mula menonjol dan menaik di industri filem tempatan. Aedy Ashraf, Ardell Ardyana, Julia Marin, Aizat Hassan, Ikmal Amry, Zakaria Zahid, Amreen Shurky serta Ghazdan bekerjasama dalam memberi hidup kepada filem ini. Bukan hanya bakat-bakat baru sahaja ang diberi peluang sebaliknya Dorm Melati juga dikukuhkan lagi dengan pelakon yang berpengalaman seperti Nadia Aqilah, Sabrina Ali dan juga Azman Hassan.

3) Filem Pertama Tempatan Disiarkan Di Panggung Wayang Tahun 2017


Pembuka tirai bagi tahun 2017, Dorm Melati wajar dijadikan filem permulaan bagi perjalanan filem tempatan anda pada tahun ini, khususnya jika anda peminat filem tempatan yang ingin menilai perkembangan (atau kemerosotan) kualiti filem tanah air. Jika anda ingin memastikan keluhuran produksi filem-filem Malaysia terjamin, (terutamanya genre seram yang sangat popular bagi khalayak ramai), tengoklah filem ini bagi menyokong industri kita untuk kebaikan semua.

Jika hendak mengulas filem ini secara ringkas, penggunaan teknik “suspense” kurang konsisten. Kadang-kala ia menjadi, kadang-kala tidak. Watak-watak dalam filem ini merupakan penjelmaan lazim – masing-masing merupakan klise yang boleh ditengok dalam majoriti filem seram yang lain. Walaupun begitu, ada juga sesetengah babak yang menakutkan dan boleh memberi kejutan kepada penonton.

Apa pun pandangan anda terhadap filem ini selepas menontonnya, sokongan yang berterusan harus diberi bagi memajukan industri filem seram tanahair. Jadi jika anda tidak tahu bagaimana hendak meluangkan masa pada hari minggu akan datang, saksikanlah Dorm Melati dengan rakan-rakan ataupun seisi keluarga.

About The Author
Profile photo of Zim Ahmadi
Zim Ahmadi
Managing Editor for Daily Seni. Eats surreal for breakfast. Peminat muzik tegar, budak baru belajar.
Comments

    Leave a Response