Editorial
Now Reading
Selamat Datang ke Bumi Larangan!
715 0

Selamat Datang ke Bumi Larangan!

by Nazir HarithMay 26, 2017

Realiti Berasingan: Satu Hari Di Bumi Larangan (1975)

Memasuki bilik segi empat luas yang dindingnya dipenuhi padat hasil kerja Zulkifli Dahlan seakan menimbulkan satu perasaan terharu dan berat-sesak yang datang sekaligus. Dalam pandangan makro sepintas lalu ruang ini ianya punya kesinambungan mikro dalam tiap-tiap lukisan dan catannya secara individual. Kesatuan dalam kepelbagaian-banyak.

Zulkifli Dahlan adalah pelukis yang menurut Tan Zi Hao diletakkan di luar sejarah seni rupa kerana tidak memenuhi citra pensejarahan yang disempitkan dekad 80an. Berada di luar dari garis sejarah ini menunjukkan Zulkifli Dahlan adalah seorang pelukis unik yang punya cara-gaya tersendiri dalam mengekspresikan fikiran dan perasaannya.

Sebagai anak jati Kuala Lumpur dia cenderung kepada seni rupa seawal usia 16 tahun. Anak ketiga daripada sepuluh orang adik beradik, dia membesar dalam suasana penuh mencabar dekad-dekad pasca kemerdekaan di mana negara dalam proses mencari-cari identiti dan membina diri. Lahir dalam keluarga yang taat agama – bapanya adalah seorang ustaz dan juga Imam – Zulkifli tidak langsung kekok dalam mengemudi dirinya sebagai seorang seniman dengan kepercayaan agamanya. Pandangan Zulkifli adalah transfigurasi nilai itu kepada bentuk visual yang fantastik.

Antara lukisan Zulkifli Dahlan yang dipamerkan

Di pameran ini, karya-karya Zulkifli dipamerkan rapat-rapat dimulai dengan karya saiz besarnya dalam hitam putih bercat enamel yang bertajuk Realiti Berasingan: Suatu Hari Bumi Larangan (1975)  di gantung di sisi kiri seusai melangkah masuk ke dalam ruang itu. Menurut Niranjan Rajah karya ini adalah renungan sosial yang punya elemen sakral Islami. Transfigurasi manusia yang memenuhi ruang lukisan ini adalah cerminan mikro projek besarnya yakni  transfigurasi visual dalam cara-gaya moden dalam mempersembahkan elemen agama dan tradisional Zulkifli Dahlan. Tidak berlebihan untuk saya katakan lukisan ini adalah renungan spiritual kondisi manusiawi.

Latiff Mohidin ada memberi komentar yang Zulkifli Dahlan adalah fenomena ketiga yang memberi nafas bentuk kepada seni rupa Malaysia dekad 70-an selain Anak Alam dan Lat. Yang mana Anak Alam, Zulkifli Dahlan terlibat secara langsung dalam penubuhan kolektif terpenting yang pernah muncul dalam sejarah seni rupa negara.

Kedai-Kedai (1973)

Di ruang kanan bilik itu, tergantung satu lagi lukisan beliau yang ikonik bertajuk Kedai-kedai (1973). Dr Simon Soon dalam eseinya termuat dalam buku katalog pameran ini ada menyentuh sesuatu yang menonjol pada tenungan figur-figur manusia atas canvas itu seakan menurutnya menghasilkan simfoni renungan yang bertautan tidak terputus. Mengingatkan kembali kepada apa yang Niranjan Rajah tuliskan juga dalam buku katalog yang sama dalam memetik Rosen akan elemen pengulangan yang menonjol dalam seni islam yang terzahir dengan corak arabesk tidak dilihat hanya sebagai pengulangan kosong tetapi keupayaan untuk sentiasa punya pilihan yang dikurniakan oleh Tuhan dalam setiap keadaan. Elemen ini saya fikir dimanipulasi oleh Zulkifli Dahlan kepada sesuatu yang segar dan baru. Melihat Kedai-kedai membuatkan kita berfikir akan apa sebenarnya yang diamati oleh mata-mata figur ini? Atau adakah sebenarnya ianya bukan tenungan pada sesuatu tapo lebih kepada tenungan kabur daripada sesuatu seperti mana saat kita berkhayal walau mata kita seakan fokus kepada satu objek walhal tidak.

Kebanyakan bingkai yang memenuhi dinding ruang itu adalah hasil lakaran-lakaran Zulkifli Dahlan yang pelbagai rupa bentuk tapi manusia adalah tema utamanya. Difahamkan beliau menghasilkan lebih 1000 buah karya yang majoritinya adalah lakaran grafik hitam putih yang sebahagiannya ada dipamerkan disini. Menulusuri visual-visual ini, tidak dapat tidak akan menerbitkan senyum tipis pada wajah kita kerana kelucuan persembahan figur-figurnya.

Karya-karya kecilnya adalah disiplin diri dalam sentiasa perlu terus untuk melukis. Disebabkan itu ianya tidak bertarikh. Dalam usaha untuk mengikuti perkembangan pengkaryaan beliau dalam garis linear masa ianya adalah suatu usaha yang sukar. Pendekatan yang sewajar untuk mendalami hasil kerjanya ialah dengan melihat semuanya sebagai satu letusan ekpresi. Sepertimana letusan bintang yang menghasilkan pelbagai warna dan corak yang mengagumkan.

Letusan ini adalah kata yang saya kira sesuai untuk Zulkifil Dahlan. Pada usianya 25 tahun dia menghembuskan nafas terakhir setelah tiga bulan berada di hopital bergelut dengan kanser limfoma. Dalam usia singkatnya ini, kita akan takjub dengan tenaga yang telah dilepaskan oleh beliau sepanjang hayatnya dan bagaimana Zulkifli Dahlan menanggapi dunianya dengan cara-gayanya yang unik.

Gambar-gambar Zulkiflin Dahlan bersama rakan-rakannya

Buku lukisan Zulkifli Dahlan

Kamera-kamera yang dibawanya sewaktu mengembara

Selain daripada lukisannya, turun dipamerkan memorabilia. Gambar-gambar beliau bersama rakan-rakannya dan sewaktu pengembaraan yang dijalaninya merentas banyak negara dari Indonesia hingga ke Eropah. Surat-surat, barang peribadi, keratan akhbar dan buku journalnya semuanya dipertontonkan untuk pengenjung mengenali dengan lebih dekat sosok bernama Zulkifli Dahlan ini.

Pameran Bumi Larangan: Zulkifli Dahlan sedang berlangsung di Balai Seni sehingga 2 Julai 2017.

Buku katalog untuk pameran ini boleh dibeli secara atas talian di Tintabudi

About The Author
Profile photo of Nazir Harith
Nazir Harith
Comments

    Leave a Response