Editorial
Now Reading
PUISI KITA – I
PUISI FEATURE
161 0

PUISI KITA – I

by Adnan QiyasApril 7, 2017

Baru-baru ini kita telah menyambut Hari Puisi Sedunia pada 21hb Mac 2017. Sedikit sebanyak sejarah hari tersebut dan juga tanggapan umum masyarakat terhadap seni puisi telahpun kami selak dalam rencana “Mengapa Kita Berpuisi?“pada 24hb Mac lalu.

Lanjutan dari Hari Puisi Sedunia, rata-rata negara mengambil April sebagai bulan menulis puisi kebangsaan (National Poetry Writing Month atau NaWriPoMo) bagi tahun 2017. Bertemakan “30 Hari 30 Puisi”, NaWriPoMo menyediakan satu tema atau tajuk (prompt) setiap hari untuk mengajak penulis-penulis puisi menulis satu puisi setiap hari. Biarpun gerakan ini dimulakan dari Amerika Syarikat oleh Maureen Thorson pada 2003, semangat dan jiwanya mudah menerap dan menular ke negara-negara lain dan dalam tempoh masa sedekad, ianya telah menjadi satu gerakan global.

Malaysia juga tidak ketinggalan, rata-rata penulis puisi Malaysia terutama sekali yang lebih rapat dengan puisi Bahasa Inggeris secara amnya mengikut gerakan ini. Ianya satu tindakan yang memupuk semangat setiakawan antara penulis-penulis, sekaligus membuka jalan untuk ramai penulis-penulis muda dan baru untuk berkecimpung di dalam arena penulisan puisi kontemporari.

Selain dari memupuk tabiat menulis puisi yang prolifik, NaWriPoMo juga bertujuan menggalakkan mereka yang kurang mengenali seni puisi untuk mendekatkan diri dan menjelajahi seni ini. Meminjam semangat itu, kami di Daily Seni ingin mencadangkan beberapa buku puisi untuk memperkenalkan dan mendekatkan masyarakat umum dengan puisi, sebagai permulaan.

Memandangkan ini adalah satu ruang umum, warkah-warkah pilihan kami lebih kepada warkah-warkah kontemporari, kerana sifatnya lebih umum, mudah didapati dan juga mutakhir. Sewaktu membuat pilihan-pilihan ini, kami menitikberatkan bahasa yang mudah (namun masih halus), penerbitan yang mutakhir (dalam kira-kira dua dekad terdekat ini), diterbitkan dalam semua bahasa yang digunakan di Malaysia (Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris adalah yang paling utama) serta capaian pembeli (accessibility). Warkah-warkah ini tidak semestinya warkah-warkah penulis Malaysia, namun ada membawa kesan dari segi penulisan, bahasa dan juga topik.


A. Samad Said – Sebuah Antologi Puisi Yang menghimpunkan Karya-karya Selama Lebih Setengah Abad

Bagi mereka yang ingin mengenali karya-karya puisi SN A.Samad Said, terbitan 2005 ini adalah titik mula yang afdal. Diterbitkan Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, buku ini menghimpunkan puisi-puisi Pak Samad dari dekad 1950 hinggalah ke 2000. Memandangkan Pak Samad masih lagi prolifik dan aktif menulis, buku ini masih lagi relevan dan hidup kerana kita masih lagi boleh mencorakkan garis masa penulisan beliau. Buku ini disusun dengan baik, dimana puisi-puisi Pak Samad disusun dari dekad ke dekad besertakan tarikh dan penerbitan yang menerbitkan puisi-puisi tersebut buat pertama kali.

PUISI 03

 

Malchin Testament: Malaysian Poems
Jika pencinta puisi-puisi Malaysia berbahasa Inggeris yang ingin memiliki satu buku yang menghimpunkan puisi-puisi Bahasa Inggeris dari penulis Malaysia, inilah bukunya. Diterbitkan Maya Press pada 2016, Malchin Testament merupakan satu antologi puisi yang menghimpunkan puluhan karya dari 57 orang penulis puisi Malaysia, baik tua ataupun muda. Terbitan ini mengandungi karya-karya dari SN Muhammad Haji Salleh, Salleh Ben Joned, Shirley Geok-Lin Lim dan juga Kee Thuan Chye antaranya. Ia juga mengumpul puisi-puisi spoken word yang makin diterima umum mutakhir ini, dari penulis-penulis seperti Sheena Baharuddin, Jamal Raslan dan Melizarani T. Selva.

PUSI 04

 

Langit Vanilla – Wani Ardy
Jika anda mula mendekati puisi melalui terbitan-terbitan indie, keberangkalian anda telahpun membaca buku ini adalah tinggi. Langit Vanilla (2013) adalah antara antologi puisi terbitan Sang Freud Press yang paling laris. Mempamerkan tulisan-tulisan yang bersahaja namun halus, lembut namun tegas dari penulis muda Wani Ardy, Langit Vanilla membawa kita menyelami jiwa seorang wanita muda di Malaysia yang sedang mencari tempatnya dalam dunia ini; yang mencari erti di sebalik dugaan hidup sambil mengejar impian seninya. Buku ini sarat dengan kesedaran, teladan dan juga iktibar dari seorang penulis, isteri, ibu dan wanita yang matang.

PUISI 06

 

Milk And Honey – Rupi Kaur
Jika anda ingin mengembangkan sayap puisi anda untuk menjelajahi dunia seorang wanita dan tubuhnya dalam sebuah dunia lelaki yang berlatarkan pasca-kolonialisme dan patriarki Timur, ini adalah satu buku yang amat sesuai. Penulisan Rupi Kaur indah – beliau amat akrab dengan bahasa dan budaya. Amat cekap dengan metaforanya, Milk and Honey (2015) menceritakan kisah-kisah hidup yang penuh dengan kepedihan, cabaran dan harapan. Disertakan dengan lakaran-lakaran kecil yang membantu menghidupkan suasana bacaan secara abstrak, Rupi mahir menggambarkan dunia dan sudut pandangnya tanpa merendahkan maruah dan martabat dirinya sebagai seorang wanita.

PUISI 02


Jika anda menyukai rencana ini, nantikan sambungannya pada minggu hadapan.

About The Author
Profile photo of Adnan Qiyas
Adnan Qiyas

Leave a Response