Film & TV
Now Reading
Ophilia: Paparan imej budaya alternatif di kota
ophilia
166 0

Ophilia: Paparan imej budaya alternatif di kota

by Anak DagangOctober 31, 2016

Dalam minggu yang akan datang, The Daily Seni akan memperkenalkan semula rencana-rencana yang terdahulunya dianggap hilang akibat naik taraf sistem laman kami. Hasil nukilan ini ditulis oleh Anak Dagang, pertama kalinya diterbitkan pada 15 December 2014.


APAKAH caranya untuk menghargai sesuatu karya seni, di dalam konteks artikel ini filem tempatan? Saya diberi peluang untuk menyatakan pendapat saya tentang filem Ophilia, sebuah filem yang ditunggu oleh anak-anak muda tempatan.

Tetapi untuk penulisan ini, saya hanya akan menulisnya berlandaskan persepsi saya sebagai peminat filem yang benar-benar amatur, sebagai ‘layman’ dan memberi pendapat bukan dari segi teknikaliti, dan lebih kepada gabungan perasaan dan logik saya selepas selesai melihat tayangan filem Ophilia pada malam Rabu yang lepas.

Ophilia adalah filem yang mengutamakan tema ‘brotherhood’ diantara tiga kawan, dan yang lebih menarik lagi mereka mengambil sub-budaya skinhead sebagai jalan kehidupan mereka. Filem ini dilihat sebagai salah satu filem yang mempunyai antisipasi yang tinggi untuk tahun ini, kerana jarang benar filem tempatan memberi ruang untuk budaya alternatif (disini saya menulis alternatif, kerana ianya diambil daripada budaya luar, tidak terlahir daripada keadaan tempatan) yang wujud di negara kita, selain daripada sub-budaya tempatan yang paling original iaitu budaya rempit.  Adakah saya mengambil langkah yang silap jika saya ingin membuat perbandingan filem ini dengan filem yang berlatar belakangkan sub-budaya minoriti juga, seperti filem Pariah, Romper Stomper, Quadrophenia dan American History X?

Filem Ophilia secara asas merupakan filem yang berjaya menambat hati penonton dengan lakonan yang benar-benar memberangsangkan. Uji (Pekin Ibrahim), Ozi Gandum (Que Haidar) dan Totoi (Kodi Rasheed) merupakan karakter yang jelas dan benar-benar berjaya membawa watak anak muda yang bergelut dengan kehidupan mereka.

Perbezaan diantara Uji dan Ozi juga dirasai, sesuai dengan latar belakang mereka yang berbeza dari segi kelas sosial. Dialog filem ini juga patut diberi pujian yang lebih, kerana berani memaparkan lenggok bahasa yang benar digunakan oleh anak-anak muda di kala ini. Sesuai benar dengan tingkat kemarahan Ozi, nada tenang Uji dan gaya bahasa Totoi yang membawa karakter yang janggal.

Uji dilihat sebagai satu karakter yang rasional, mempunyai alasan yang kukuh untuk beliau menggarapi budaya yang beliau ambil, dan dilihat sebagai anak muda yang penuh dengan ideal murni, mengutamakan pemikiran diri sendiri dan sama seperti anak muda yang lain, senang benar merasa jelek dengan perlakuan yang diambil dari barat.

Ozi Gandum pula berjaya memaparkan suatu nada kehidupan yang penuh dengan huru-hara dan kebingungan, disebabkan latar belakang keluarga yang porak peranda. Que Haidar layak benar diberi pujian untuk filem ini, kerana berjaya menghidupkan karakter Ozi. Totoi yang dibawa oleh Kodi Rasheed pula berjaya membawa karakter yang seakan anak muda yang naif, tetapi atas nilai ‘kekeluargaan’, setia bersama Ozi dan Uji menempuh segala keperitan di dalam filem ini.

Jalan penceritaan membawa ketiga-tiga karakter ini kepada suatu keadaan yang memerangkap mereka, dan membawa kepada babak akhir yang tragik. Tetapi babak-babak yang membimbing filem ini kepada plot utama, dilihat terlalu cepat dan tanpa jalinan yang benar-benar halus. Kemunculan Ah Beng dengan pandangan ‘kereknya’ terhadap Uji, mamat yang kewujudannya hanya untuk gelak dan Ophilia yang bermesra dengan Uji secara tiba-tiba, dan juga watak lelaki jalanan yang juga secara tiba-tiba, berleter tentang masalah kehidupan juga tidak diwujudkan di dalam satu  jalinan cerita yang elok.

maxresdefault

Tidak juga dapat saya nafikan bahawa babak-babak yang lain juga berjaya ditangkap oleh pengarah, walaupun terdapat juga kewujudan beberapa karakter yang bagi saya, tidak diperlukan, tetapi atas nama ‘lesen kreatif’ pengarah, dapat diterima atas nama nilai estetik yang sengaja dipaparkan.

Tetapi terdapat satu babak yang jelas menggambarkan percanggahan diantara dialog Uji dan karakter yang dibawanya, Uji menyatakan dengan jelas tentang kejelekan beliau terhadap anak-anak muda yang mengangkat ideologi barat tanpa memikirkan akibatnya, mungkin akibat yang akan membawa kepada kehancuran budaya tempatan sendiri. Tetapi ironinya disini, mereka sendiri mengambil sub-budaya luar, budaya yang diambil daripada kelas pekerja di England sebagai gaya hidup mereka. Segala pemakaian yang ada, semuanya berkait rapat dengan keadaan pekerja buruh di sana, ideologi yang dihasilkan juga berkait rapat dengan konteks disana.

Barangkali bukan itu yang ingin disentuh oleh pembikin filem tersebut, Raja Mukhriz. Mungkin beliau hanya ingin menekankan aspek romantisisme yang dikongsi oleh kesemua anak-anak muda yang mungkin suatu masa pernah mengambil budaya skinhead sebagai salah satu gaya hidup mereka

Pada babak klimaks dimana drama diantara tiga sahabat itu berlaku, iaitu babak dimana mereka bergaduh, konklusi yang dilontarkan oleh Uji, melalui dialognya juga tidak ditulis secara kemas. Terlalu kabur untuk dicerna oleh penonton tentang tingkat rasisme Ozi Gandum, dan lontaran itu diadakan seperti selingan, sebagai bimbingan utama agar berlakunya konflik diantara mereka.

Harapan saya menghampakan saya, kerana jalan penceritaan cerita ini, dan setiap karakter yang wujud, dapat berlangsung dengan jayanya tanpa perlunya budaya skinhead sebagai paksi utama. Saya mengharapkan bahawa budaya itu sendiri diberi ruang yang secukupnya di dalam filem ini, bukan sekadar laungan ‘siga saga’ dan perkataan daripada lirik A.C.A.B, “Fight for our Right” ataupun “We are the Skins” sahaja.

About The Author
Profile photo of Anak Dagang
Anak Dagang
Anak Dagang seorang warga kota Kuala Lumpur yang ingin terus menulis. Anak Dagang is a senior contributor to The Daily Seni.

Leave a Response